KUALA LUMPUR: Bukit Aman sedang berusaha mengesahkan kewarganegaraan seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia yang maut dalam serbuan dadah membabitkan rampasan syabu bernilai RM858,000 di Tawi-Tawi, selatan Filipina, semalam.
Baca juga: Hans Isaac, Francisca Luhong rancang kahwin tahun depan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan, berkata dakwaan awal suspek itu adalah rakyat tempatan dibuat berdasarkan penemuan kad klinik swasta yang dikeluarkan di Sabah bersamanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa Filipina sudah berkongsi maklumat insiden itu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun kewarganegaraan lelaki berkenaan belum dapat dipastikan berikutan tiada dokumen pengenalan diri rasmi ditemui padanya.
“Kita sudah menerima perincian kes daripada Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) dan sedang berusaha mengenal pasti identitinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Suspek yang dikenal pasti pihak berkuasa Filipina sebagai Janimal Hajad atau dikenali sebagai ‘Ungod’ maut bersama rakan subahat yang juga warga Filipina, Sansibar Amirul Amil, dalam operasi serbuan di Barangay Tubig Mampallam, Bongao, Tawi-Tawi.
Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), operasi pada jam 4.50 petang semalam itu dijalankan ejen PDEA dengan kerjasama polis serta pasukan marin negara berkenaan.
Pegawai PDEA Wilayah Tawi-Tawi, Abraham Solon Kalim, berkata kedua-dua suspek didakwa melepaskan tembakan ke arah anggota penguat kuasa selepas menyedari mereka berurusan dengan anggota penyamaran anti narkotik.
Suspek dilaporkan cuba melarikan diri menaiki bot kayu berenjin sambil melepaskan tembakan ke arah pasukan serbuan sebelum kedua-duanya maut dalam kejadian berbalas tembakan itu.
Dua wanita yang belum dikenal pasti identitinya turut cedera terkena peluru sesat dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala tiada anggota penguat kuasa dilaporkan cedera.
Pihak berkuasa merampas kira-kira dua kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai 13.4 juta peso (RM858,000) yang dibungkus dalam dua bungkusan teh Cina, selain sepucuk pistol dan bot kayu berenjin yang dipercayai digunakan suspek untuk melarikan diri.
Siasatan lanjut berhubung insiden itu masih diteruskan pihak berkuasa Filipina.
© New Straits Times Press (M) Bhd