BANGKOK – Mahkamah Thailand pada Isnin menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra untuk menangguhkan tindakan penyitaan asetnya berhubung pertikaian tunggakan cukai berjumlah 17.5 bilion baht (RM2.1 bilion).Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Agung pada November tahun lalu mengarahkan taikun telekomunikasi yang juga antara individu terkaya di Bangkok membayar tunggakan cukai berkaitan penjualan saham syarikat telekomunikasinya pada 2006.Thaksin kemudian memohon perintah injunksi sementara terhadap Jabatan Hasil Dalam Negeri bagi menghalang langkah itu untuk melunaskan tunggakan berkenaan. Mahkamah Cukai menganggarkan jumlah cukai tertunggak itu.Sesi rundingan antara Thaksin dan Jabatan Hasil Dalam Negeri dijadualkan berlangsung pada bulan depan di Mahkamah Cukai.Pada bulan lalu, Thaksin, 77, berhujah di mahkamah bahawa beliau telah melunaskan cukai berkaitan penjualan saham Shin Corp kepada syarikat pelaburan Singapura, Temasek Holdings yang sebelum ini dikecualikan daripada cukai.Urus niaga pada 2006 itu memberikan keuntungan sebanyak AS$1.9 bilion (RM7.78 bilion) kepada keluarga Shinawatra, sekali gus mencetuskan bantahan besar-besaran dan menjadi antara isu utama penentangan terhadap pentadbiran beliau.Beliau digulingkan menerusi rampasan kuasa pada tahun yang sama sebelum hidup dalam buangan selama lebih sedekad. Sepanjang tempoh itu, beliau turut disabitkan atas kesalahan rasuah.Thaksin ditahan sebaik pulang ke Thailand pada 2023. Namun, beliau dihantar ke hospital sebelum dibebaskan. Thaksin kemudiannya menjalani hukuman penjara selama lapan bulan sebelum dibebaskan pada Mei lalu.Sejak dua dekad lalu, keluarga Shinawatra menjadi antara penentang utama golongan elit protentera dan promonarki yang melihat pendekatan politik populis mereka sebagai ancaman terhadap susunan sosial tradisional negara berkenaan.Dinasti politik keluarga Shinawatra turut berdepan beberapa kemunduran termasuk penyingkiran anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra daripada jawatan Perdana Menteri melalui keputusan mahkamah pada Ogos 2025 berkaitan kes pelanggaran etika.Parti Pheu Thai yang diterajui keluarga itu turut mencatat keputusan pilihan raya paling buruk pada Februari lalu apabila hanya menduduki tempat ketiga. Bagaimanapun, parti berkenaan masih berjaya menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan pimpinan Perdana Menteri konservatif, Anutin Charnvirakul. – AFP
Rayuan ditolak, aset Thaksin berdepan risiko disita
Malay News | https://www.malay.news/rayuan-ditolak-aset-thaksin-berdepan-risiko-disita/