Pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dibatalkan berkuat kuasa serta-merta pada 20 September 2026 selepas kesemua mereka didapati melanggar ikrar taat setia yang dilafazkan.
Pembatalan telah mendapat perkenaan Tuanku Muhriz
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Warta Kerajaan Negeri Sembilan menyatakan pembatalan tersebut telah diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Perkara berkenaan dinyatakan dalam Warta Kerajaan Negeri Sembilan, N.S. P.U. 18 yang diterbitkan sebagai tambahan Perundangan, Jilid 79, No. 39.
Menurut warta itu lagi, kesemua 10 Exco terbabit sebelum ini mengangkat dan menandatangani sumpah serta ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos 2026 sebelum mengambil tempat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
“Dan bahawasanya memandangkan kalian telah melanggar ikrar taat setia tersebut MAKA, Beta dengan ini menarik balik perkenan Beta dan membatalkan pelantikan kalian sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan,” menurut warta tersebut.

Mereka yang terlibat ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon dan Siti Nur Umaira Hasim.
Turut terlibat ialah Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Kesemua mereka memegang portfolio masing-masing dalam pentadbiran negeri, termasuk pembangunan luar bandar, pendidikan, belia dan sukan, perumahan, pembangunan wanita, perindustrian, pertanian, kesihatan, keusahawanan serta pelancongan.
Foto: FB Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan
Walau bagaimanapun, perkembangan itu turut disusuli pertikaian daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang berkata kesemua Exco berkenaan masih sah menjalankan tugas berdasarkan tafsiran kerajaan negeri terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Dalam sidang media di Seremban sebelum ini, Ismail menegaskan kerajaan negeri tidak mahu mengambil alih tugas institusi adat dalam menentukan pertikaian berkaitan adat dan institusi raja.
Beliau berkata perkara berkenaan hendaklah diselesaikan menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih serta melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa, termasuk Undang Yang Empat dan Dewan Keadilan dan Undang mengikut fungsi masing-masing.
Ujarnya, kerajaan negeri turut menyeru semua pihak yang terbabit supaya segera mencari jalan penyelesaian secara berhemah, tertib dan bermaruah demi mengembalikan keharmonian Negeri Sembilan.
Sumber: Malaysia Gazette
