RIYADH: Pertahanan Awam Arab Saudi pada Khamis mengeluarkan beberapa amaran ringkas termasuk untuk bandar Mekah, lokasi tempat suci paling utama dalam Islam, yang biasanya menunjukkan kemungkinan ancaman peluru berpandu atau dron.
“Amaran telah dikeluarkan oleh Platform Amaran Awal Kebangsaan di Bandar Mekah bagi memberi amaran mengenai potensi bahaya,” katanya, selain amaran berasingan untuk wilayah Yanbu di Laut Merah serta kawasan Taif, Jeddah dan Tabuk.
Amaran itu ditarik balik beberapa minit kemudian.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, amaran seumpama itu sering dikeluarkan sebelum serangan oleh kumpulan Houthi yang disokong Iran.
Minggu lalu, Riyadh menuduh kumpulan itu menyasarkan Mekah buat kali pertama sejak 2017 dengan sebuah dron yang berjaya ditembak jatuh, dakwaan yang dinafikan Houthi.
Beberapa hari kemudian, kumpulan itu menyerang ibu negara Arab Saudi, Riyadh, buat kali pertama dalam tempoh beberapa tahun, menandakan peningkatan baharu dalam konflik berkenaan.
Houthi, yang berperang dengan gabungan pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa sejak 2015, meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi, sekali gus menjadikan Yemen sebahagian daripada perang yang lebih meluas di Asia Barat.
Awal bulan ini, Houthi merampas kawalan kawasan pesisir strategik yang menghadap Selat Bab al-Mandab, laluan penting bagi eksport minyak Arab Saudi, selepas menawan wilayah daripada tentera kerajaan yang disokong Riyadh.
Pada Julai, gencatan senjata rapuh yang dicapai pada 2022 antara Houthi dan kerajaan runtuh selepas kumpulan itu membenarkan sebuah pesawat Iran mendarat di Sanaa, bertentangan dengan kawalan Riyadh terhadap ruang udara Yemen, sekali gus mencetuskan beberapa siri serangan.
Kumpulan itu kemudian mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi dan mula menyerang kapal tangki serta wilayah negara itu.
Kejayaan Houthi mengukuhkan penguasaan Iran dan sekutunya terhadap dua laluan perairan yang menjadi sandaran negara-negara Teluk, termasuk Arab Saudi sebagai pengeksport minyak mentah terbesar, untuk mengeksport minyak mereka. – AFP

