10 individu ditahan, tipu khidmat penyelenggaraan alat pemadam api

10 individu ditahan, tipu khidmat penyelenggaraan alat pemadam api

am@hmetro.com.my

Bagan Datuk: Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan khidmat penyelenggaraan alat pemadam api yang menyasarkan premis perniagaan di negeri ini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kegiatan sindiket terbongkar susulan penahanan sembilan lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 35 tahun itu dalam empat serbuan di Bagan Datuk dan Cheras, Kuala Lumpur antara 1 hingga 5 Januari lalu.

Menurutnya, penahanan kesemua suspek itu menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes membabitkan kerugian RM89,000 yang dilaporkan mangsa di Bagan Datuk dan Kampar.

“Laporan terakhir diterima 3.40 petang, 31 Disember lalu daripada lelaki di Hutan Melintang, di sini yang mendakwa dua lelaki menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan alat pemadam api di premisnya pada harga RM100 bagi satu alat.

“Namun pemeriksaan yang dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang di premis itu mendapati pelekat electronic fire extinguisher inspection system (eFEiS) pada alat pemadam api adalah palsu dan tiada dalam rekod.

“Hasil semakan juga mendapati syarikat itu tidak dilantik mahupun berdaftar dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan alat pemadam api,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkafli berkata, dalam serbuan, pihaknya merampas 89 alat pemadam api, empat telefon bimbit, tujuh pelekat eFEiS, tiga kereta dan dua sijil kontraktor palsu.

“Ahli sindiket yang ditangkap disyaki berperanan sebagai pekerja yang ditugaskan mencari pelanggan di premis-premis perniagaan.

“Selain perkhidmatan penyelenggaraan alat pemadam api, mereka juga disyaki memperbaharui pelekat eFEiS dan membekalkan pelekat eFEiS palsu dan pemilik syarikat.

“Selain Perak, sindiket penipuan ini dipercayai beroperasi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top