10 maut dalam protes anti junta tentera Myanmar

10 maut dalam protes anti junta tentera Myanmar

YANGON: Sekurang-kurangnya 10 pejuang anti-junta dan orang awam terbunuh dalam pertempuran dengan tentera di tengah Myanmar.

Wilayah Sagaing di tengah Myanmar menjadi lokasi terbaru menyaksikan banyak pertempuran antara pasukan keselamatan dianggotai orang awam dengan tentera.

Jumaat lalu, pertempuran terburuk dilaporkan berlaku di kota Depayin, di mana penduduk memberitahu AFP bahawa trak tentera memasuki kawasan mereka dan melepaskan tembakan ke sebuah kampung berhampiran hutan.

“Mereka cuba mengusir anggota pasukan pertahanan tempatan, kami mendengar tembakan artileri sebanyak 26 kali.

“Mereka menembak secara rambang sesiapa saja yang dilihat di jalan dan di kampung, menyebabkan ramai orang awam terkorban,” kata seorang penduduk kampung.

Difahamkan, pasukan pertahanan tempatan berusaha membalas, namun tidak dapat menangkis serangan tentera junta tentera dan penduduk kampung hanya berani keluar rumah semalam bagi mengumpulkan mayat di sekitar bandar Depayin.

“Kami dapati di satu lokasi, kira-kira lapan orang terbunuh dan dua lagi mayat ditemui di kawasan lain,” katanya.

Media dikendalikan kerajaan pula melaporkan sebaliknya, menyatakan tentera diserang ketika melakukan rondaan di kawasan itu .

“Tentera berdepan pengganas bersenjata dan kemudian menemui empat mortar serta enam pistol.

“Dalam serangan lain di Sagaing, seorang anggota pasukan keselamatan terbunuh dan pihak berkuasa berusaha untuk menstabilkan keadaan,” lapor akhbar New New Light of Myanmar.

Seorang penduduk kampung berkata, penduduk tempatan kini semakin berani menggunakan senjata menyerang pihak berkuasa yang sering bertindak ganas terhadap mereka sejak rampasan kuasa 1 Februari lalu.

Myanmar diulit kekacauan sejak junta tentera menggulingkan kepimpinan Aung San Suu Kyi, selepas partinya, Liga Nasional Demokrasi (NLD), menang besar dalam pilihan raya November lalu.

Di beberapa daerah, orang awam dilaporkan membentuk ‘pasukan pertahanan’ untuk berdepan pihak berkuasa yang sering menggunakan kekerasan bagi mematahkan demonstrasi menuntut demokrasi dikembalikan.

Mereka kini menggunakan senjata api buatan sendiri dan senapang yang dimiliki untuk memburu bagi mempertahankan diri selain menentang pihak berkuasa jika perlu.

Menurut kumpulan pemantau tempatan, hampir 890 orang awam maut susulan tindakan keras Majlis Pentadbiran Negeri Myanmar, manakala kira-kira 6,500 lagi ditahan.

Hari ini, penduduk di seluruh Sagaing dilaporkan mengadakan demonstrasi jalanan dengan memberi tabik tiga jari sebagai tanda protes semasa berarak.

Ketegangan kembali memuncak sejak kelmarin sempena ulang tahun pemimpin junta, Min Aung Hlaing, 65, juga dalang rampasan kuasa, yang diraikan penduduk Myanmar dengan ‘upacara pengebumian’ beliau.

Penunjuk perasaan turut menyiarkan gambar hidangan mi sup dikenali Mohinga, juadah sering disajikan di upacara pengebumian di Myanmar selain ‘mendoakan’ kematian Aung Hlaing di media sosial. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top