Seleweng dana NGO RM12.3 juta, pendakwah bebas ditahan SPRM

Seleweng dana NGO RM12.3 juta, pendakwah bebas ditahan SPRM

am@hmetro.com.my

Seremban: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan seorang pendakwah bebas kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di tempatnya bekerja berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan, di sini.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga pengerusi NGO berkenaan disyaki melakukan perbuatan itu pada September 2022 hingga kini.

“Suspek dipercayai menyalahgunakan jawatannya dan bersubahat bersama dua ahli jawatankuasa yang lain dengan memindahkan wang berjumlah kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun bank miliknya dan lapan lagi syarikat yang juga miliknya,” katanya.

Menurut sumber, susulan siasatan itu, SPRM Negeri Sembilan membekukan 15 akaun yang terdiri daripada tiga akaun bank persendirian, tiga akaun bank NGO dan sembilan akaun bank syarikat dengan nilai berjumlah kira-kira RM16.5 juta.

Selain itu, turut disita ialah wang tunai Riyal dan Dolar Singapura berjumlah RM6,576, tiga jam tangan bernilai kira-kira RM5,000 dan tiga beg tangan berjumlah kira-kira RM3,000.

Lima gelang tangan berjumlah kira-kira RM26,000, sebentuk cincin bernilai kira-kira RM2,000, satu rantai berjumlah kira-kira RM7,000 dan 51 keping emas seberat 1 gram berjumlah kira-kira RM31,000 turut dirampas.

Perintah reman selama lima hari sehingga 26 April 2026 terhadap suspek dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sebelum ini media melaporkan, penyelewengan berjumlah kira RM230 juta membabitkan NGO) tidak membabitkan sumber dana daripada badan zakat, sebaliknya diseleweng daripada sumbangan diberikan pelbagai pihak dan sumber kepada pertubuhan berkenaan.

Sebahagian sumbangan yang diseleweng itu juga termasuk kutipan seharusnya disalurkan kepada badan zakat sebuah negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top