Penyanyi dangdut popular, Amelina mengakui selepas hampir 10 tahun bergelar ibu tunggal, hatinya tidak pernah tertutup untuk mencari pasangan hidup.
Katanya, dia kini sudah berada pada tahap yang cukup selesa untuk hidup berdikari selain mahu terus memberikan fokus kepada kerjaya dan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.
“Sepanjang 10 tahun hidup sendiri, saya memang fokus 100 peratus untuk membesarkan anak-anak dan mencari duit untuk menyara mereka. Apabila anak-anak sudah dewasa, saya jadi serba salah pula untuk memulakan sesuatu perhubungan.
“Saya tidak trauma, bahkan hati saya tidak pernah tertutup untuk mencari pasangan hidup. Anak-anak juga sudah beri lampu hijau untuk saya berkahwin lain.
“Tetapi untuk memulakan semula fasa itu saya rasa macam susah dan memenatkan. Apa yang saya boleh katakan saya selesa dengan kehidupan sekarang,” katanya.
Amelina berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis sidang media pengumuman Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’, pada Selasa.
Mengaku seorang yang manja

Berkongsi lanjut, penyanyi yang terkenal dengan lagu Asyik itu mendedahkan, dia pernah didekati lelaki berstatus suami orang sekali gus membuatkan dia lebih berhati-hati mengenai soal jodoh.
“Sebagai seorang wanita, sudah tentu saya mahukan seorang lelaki yang boleh menyayangi saya. Saya seorang yang manja. Tetapi kebanyakan yang saya jumpa seperti tidak ikhlas.
“Malah, saya juga pernah didekati oleh seorang lelaki yang berstatus suami orang. Kadang-kadang bila seorang wanita itu terlalu berdikari pun orang takut juga nak menjalinkan hubungan,” jelasnya.
Konsert bersama Inul & Baby Shima
Dalam perkembangan lain, Amelina bakal memeriahkan Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millennial Dangdut Nusantara’ yang akan berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 6 Disember ini.
Selain Amelina, konsert itu juga akan menampilkan persembahan penyanyi dangdut sensasi, Baby Shima di samping bintang utama, Inul Daratista.
Untuk rekod, Amelina pernah berkahwin dengan Reduan Mahamood pada 26 April 1999 namun bercerai pada 29 Jun 2016.
Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan dengan enam cahaya mata iaitu Puteri Nur’ Athirah, Putera Al’ Affiq, Putera Al’ Asyraff, Puteri Nur’ Asyurah, Putera Al’ Arffa dan Putera Al’ Amzar.




