10 terbunuh dalam serangan di barat laut Syria

10 terbunuh dalam serangan di barat laut Syria

IBLIN: Serangan rejim Syria di wilayah Idlib yang dikuasai pembangkang hari ini meragut 10 nyawa, yang juga korban terbesar sejak gencatan senjata 15 bulan lalu.

Wartawan AFP di lokasi menyaksikan sisa runtuhan rumah yang musnah akibat bedilan roket itu turut merosakkan kenderaan diletakkan di luar kediaman terbabit.

Beberapa mayat yang bergelimpangan di halaman ditutup dengan selimut.

Tragedi bermula dengan tembakan roket berhampiran perkampungan Iblin, yang terletak kira-kira 25 kilometer di barat daya kota Idlib.

Kumpulan Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia berkata tiga orang awam termasuk seorang lelaki, wanita dan anaknya, terbunuh dalam serangan berhampiran garisan memisahkan pasukan rejim dari kawasan dikuasai pembangkang.

“Serangan kedua mengorbankan tujuh penduduk yang berkumpul di kawasan berdekatan, kata pemerhati itu.

“Mereka adalah anggota atau sekutu perikatan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), iaitu pertubuhan jihad yang merangkumi bekas anggota kumpulan Al-Qaeda Syria, kata pemerhati perang itu lagi.

“Serangan ini adalah yang terburuk sejak gencatan senjata pada Mac tahun lalu, yang dipersetujui dalam rundingan antara Russia dan Turki, juga dalang utama konflik selama bertahun itu,” katanya.

Jurucakap HTS dan penyelaras media HTS adalah antara tujuh yang terbunuh, katanya lagi.

Dalam kenyataan yang dihantar kepada wartawan tempatan melalui Whatsapp, HTS mengesahkan tiga anggotanya antara yang terbunuh.

Menurut penduduk, Ibrahim Harmoush, 30, ramai yang berkumpul di jalanan selepas berlaku serangan pertama, sekali gus mengakibatkan angka korban bertambah.

“Pagi ini kami dikejutkan dengan bedilan roket dan bunyi tembakan, difahamkan artileri,” katanya ketika berada di hadapan rumah yang musnah akibat bedilan roket.

HTS dan sekutunya menguasai sebahagian wilayah Idlib dan juga wilayah berhampiran, Aleppo, Hama serta Latakia.

Lebih daripada tiga juta orang mendiami wilayah terbabit dengan separuh daripadanya sudah dipindahkan ke bahagian lain negara itu.

Sejak rundingan gencatan senjata, rejim yang disokong Russia berhenti melancarkan serangan darat sepenuhnya, sekali gus menghentikan hasrat untuk menakluki seluruh negara itu.

Bagaimanapun, pencabulan gencatan senjata sering terjadi ketika pasukan pemerintah berusaha mempertahankan kekuatan mereka di wilayah itu.

Minggu lalu, pesawat perang Russia menyerang wilayah selatan Idlib disusuli tembakan artileri oleh pasukan rejim, menurut pemantau.

Perang di Syria sudah mengorbankan hampir 500,000 orang sejak ia bermula pada 2011 dengan penindasan kejam terhadap penunjuk perasaan secara aman. -AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top