Berkat baca al-Quran selepas Subuh dapat 12A+ SPM

bhnews@bh.com.my

JERTIH: Berkat menjadikan rutin membaca al-Quran selepas Subuh menjadi resipi seorang pelajar cemerlang Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu Besut berjaya memperoleh 12A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Ahmad Farhan Abdullah, 18, dari Ketereh, Kelantan, berkata dia hanya tahu keputusan penuh peperiksaan itu ketika membuat semakan secara dalam talian kira-kira jam 10 pagi tadi.

Katanya, walaupun tidak meletakkan harapan tinggi, dia cuba melakukan yang terbaik berbanding keputusan percubaan hanya memperoleh 11A+ dan 1A bagi subjek matematik tambahan.

“Cabaran utama kami ialah terpaksa belajar secara dalam talian sejak bermula pandemik COVID-19 tahun lalu kerana ia tidak sama dengan belajar secara bersemuka.

“Nasib baik keluarga sangat memahami dan setiap hari memberi motivasi serta kata-kata semangat untuk fokus terhadap persediaan menghadapi SPM.

“Walaupun ada beberapa silibus tidak sempat dihabiskan sebelum kaedah pengajaran dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), saya mengambil inisiatif melakukan ulang kaji sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Farhan yang juga anak keempat daripada lima beradik berkata, dia berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, seterusnya menjadi doktor suatu hari nanti.

Sementara itu, seorang lagi pelajar SM Imtiaz Yayasan Terengganu Besut, Abrisam Hafiz Azhar juga memperoleh 12A+ bagi semua subjek yang diambil.

© New Straits Times Press (M) Bhd