1,000 janin ditemukan dalam peti sejuk di Vietnam

1,000 janin ditemukan dalam peti sejuk di Vietnam

HANOI: Polis Vietnam menemui lebih 1,000 janin manusia disimpan peti sejuk di sebuah pangsapuri di daerah Ha Dong, di sini selepas menerima maklumat berhubung sekumpulan individu membawa beg hitam di kawasan itu.

Memetik laporan akhbar Kinh te & Do thi, portal berita Vn Express melaporkan polis mengawasi kumpulan itu sehingga ke apartmen terbabit.

Pasukan keselamatan kemudiannya menyerbu pangsapuri itu dan menemui dua peti sejuk besar yang dipenuhi beg hitam.

Pemeriksaan lanjut mendapati beg hitam itu mengandungi janin manusia dan empat orang ditahan untuk disoal siasat.

Penyejuk beku dan janin kemudian ditempatkan di rumah pengebumian daerah sementara menunggu siasatan.

Siasatan awal polis menunjukkan keempat-empat suspek sering mengumpul janin hasil pengguguran daripada klinik dan tempat pembuangan sampah di bandar dan mengatur pengebumian yang sesuai untuk mereka.

Mereka melakukan pengebumian di Thanh Oai dan Soc Son di Hanoi dan di Wilayah Nam Dinh.

Bagaimanapun, oleh kerana jarak yang sangat jauh di antara kawasan berkenaan, kumpulan itu menyimpan janin di dalam peti sejuk terlebih dulu.

Walaupun polis menyatakan bahawa kes tidak berunsur jenayah, tetapi pihak berkuasa tempatan berkata, ia menyebabkan masalah alam sekitar mengenai cara janin ditangani dan disimpan.

Vietnam adalah antara negara dengan kadar pengguguran tertinggi di dunia.

Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak di bawah Kementerian Kesihatan mencatatkan 14 pengguguran bagi setiap 100 kelahiran di negara itu pada 2018.

Antara faktor kadar pengguguran tinggi yang dianggap sah di Vietnam, adalah pemilihan jantina bayi dan kurangnya pendidikan kesihatan seksual.

Seks sebelum nikah masih menjadi pantang larang di Vietnam dengan wanita muda berdepan reaksi keras jika mereka hamil luar nikah.

Pakar menyatakan kurangnya pendidikan seks di Vietnam menyebabkan ada yang bergantung kepada pengguguran sebagai bentuk kawalan kelahiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top