ESSCOM tahan 21 PATI warga Indonesia

ESSCOM tahan 21 PATI warga Indonesia

#taskid sendstory

bhnews@bh.com.my

TAWAU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menerusi Op Cegah Pati (OCP) Daratan, di sini, malam tadi.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman, berkata semua mereka ditahan ketika bersembunyi di kawasan semak di sepanjang pesisir pantai berhampiram perkampungan atas air di Batu 3.5, Jalan Apas, dekat sini, jam 7.43 malam.

Semua PATI itu disyaki baru tiba dari negara jiran Indonesia dan mendarat di kawasan berkenaan dengan menggunakan bot laju sebelum cuba menyusup masuk ke daerah ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua mereka terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, sebelas wanita dewasa, bersama dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

“Mereka seterusnya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fuad berkata , ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh daerah di ESSZone.

Pemantauan secara agresif termasuk mengadaptasikan konsep “Show of Force” bagi mengawal kemasukan PATI terutama dari negara jiran dalam usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19 daripada merebak yang dibawa masuk ke negara ini melalui PATI.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa masyarakat di kawasan ESSZone supaya menjadi “mata dan telinga” dengan menyalurkan maklumat terutamanya mengenai kemasukan PATI.

“Jangan bersubahat atau bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut yang cuba mengambil kesempatan menjalankan aktiviti penyeludupan samaada rokok ataupun migran ke negara ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top