New Delhi: Perarakan perkahwinan di Uttar Pradesh, Jaunpur bertukar menjadi adegan ngeri, apabila pengantin lelaki ditembak mati ketika dalam perjalanan ke majlis berkenaan, lapor Indiatoday.
Difahamkan, mangsa, Azad Bind ada menerima ugutan dua hari sebelum majlis berkenaan berlangsung.
Ahli keluarga berkata mereka sudah diberi amaran mengenai kemungkinan serangan berkenaan.
“Dua hari lepas kami ada mendengar mungkin akan berlaku keganasan, dan terfikir untuk membuat laporan polis,” kata seorang saudara, sambil berkata amaran itu tidak diendahkan.
Serangan berlaku di Lebuhraya Nasional 135-A pada petang Jumaat, kira-kira lima kilometer dari rumah pengantin lelaki.
Ketika kejadian, kereta yang dihiasi bunga-bungaan dinaiki Azad dipintas penyerang bermotosikal.
Seorang saksi dalam kereta berkata, terdapat dua hingga tiga penyerang bermotosikal.
“Wajah mereka ditutup, malam plat motosikal juga ditutup dengan kain.
“Mereka melarikan diri sebaik melepaskan tembakan,” katanya.
Menurut saksi, sekurang-kurangnya tiga das tembakan dilepaskan dalam masa singkat.
Beberapa saat selepas ditembak, Azad masih sedar.
Seorang ahli keluarga berkata, antara kata-kata terakhir Azad adalah: “Saya tidak akan selamat”
Selepas ditembak, keluarga terus membawa Azad ke hospital berdekatan, sebelum dirujuk ke hospital daerah yang mana doktor mengesahkan kematiannya.
Polis percaya serangan itu sudah dirancang terlebih dahulu.
Penyiasat berkata suspek menjejaki pergerakan perarakan perkahwinan dan sentiasa berhubung untuk mengetahui lokasinya.
Penguasa Polis Kunwar Singh berkata pembunuhan itu dipercayai akibat tentangan terhadap perkahwinan itu dalam kalangan keluarga pihak pengantin perempuan.
Polis menamakan Pradeep Bind dan Ravi Yadav sebagai suspek utama, dengan Bhole Rajbhar turut dikenal pasti.
Pradeep, seorang daripada saudara kepada pengantin perempuan, dipercayai tidak bersetuju dengan perkahwinan itu.
Ketika soal siasat, pengantin perempuan mengesahkan Pradeep menentang perkahwinan itu dan memberi ugutan beberapa hari sebelum kejadian.
Setakat ini, ketiga-tiga suspek masih bebas.
Polis menawarkan ganjaran Rs 25,000 (kira-kira RM1,400) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan mereka.
Penyiasat berkata Pradeep Bind mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah terbabit dalam kes pembunuhan upahan di Jaunpur pada Januari 2025 dan ketika ini dibebaskan dengan jaminan.
Ahli keluarga juga mendakwa terdapat pertikaian lama membabitkan beberapa suspek, termasuk keganasan dan ugutan sejak beberapa tahun lalu.
Bedah siasat terhadap mangsa mengesahkan dua kecederaan utama akibat tembakan satu dari belakang dan tertanam di dada, manakala satu lagi menembusi rahang.
© New Straits Times Press (M) Bhd



