Artis sombong, jangan sampai tidak hormat orang lama – Khadijah Ibrahim

Artis sombong, jangan sampai tidak hormat orang lama – Khadijah Ibrahim

PETALING JAYA: Penyanyi senior, Datuk Khadijah Ibrahim lantang menegur tindakan segelintir artis baharu yang bersikap sombong terhadap peminat.

Menurut Khadijah yang mesra disapa ibu Kathy, populariti seseorang artis itu bergantung kepada sokongan peminat untuk kekal bertahan dalam industri seni tanah air.

“Tiada peminat, tiadalah awak. Peminat kita dahulu sangat ramai. Ke mana sahaja kita pergi, pasti ada yang ikut sama. Alhamdulillah, saya suka layan peminat saya dari dulu sehingga sekarang.

“Adakah mereka menjadi sombong kerana sambutan dari karya yang mereka bintangi? Pada saya, saya tidak percaya pada perkara itu kerana ‘rating’ boleh membunuh populariti dan bakat sebenarnya.

“Kemudian, kalau anda sombong, siapa yang rugi? Pada akhirnya, anda perlukan peminat untuk bertahan. Setidaknya, senyum itu sedekah. Bagilah yang terbaik pada peminat, supaya kita ni dihormati dan disayangi sampai akhir hayat.

“Kita tidak tahu berapa ramai yang akan sedekahkan al-Fatihah bila kita sudah mati. Kalau sombong, mungkin tiada yang mahu sedekahkan,” katanya.

Dalam masa sama, Pengerusi Karyawan itu turut mengakui sukar untuk menyatukan artis lama dan baharu memandangkan ada segelintirnya bersikap kurang ajar dan sukar memberikan kerjasama.

“Mereka terlupa industri ini tudak kekal lama. Mereka lupa nak bersatu. Banyak sahaja majlis yang pihak karyawan lakukan untuk meraikan setiap karyawan dalam industri.

“Tetapi, apabila kita jemput mereka (artis baharu), mereka layan kita seperti acuh tak acuh dan minta kita hubungi pengurus mereka. Adakah saya laya untuk mendapat layanan sebegitu? Mereka fikir mereka mampu lawan kita di atas pentas?

“Kami jemput anda sebab kami nak tolong tingkatkan karier seni anda. Tapi bila kami terpaksa menunggu sehingga berbulan-bulan untuk dapatkan jawapan anda, itu namanya kurang ajar,” jelasnya ketika ditemui di sidang media A Tribute To Sharifah Aini, Khamis lalu.

Selain menegur sikap sombong, Khadijah bagaimanapun berharap setiap artis baharu turut menghormati karyawan yang terlebih dahulu makan garam dalam industri hiburan tanah air.

“Kami juga mempunyai pengurus. Malah, pengurus kami mampu membawa kami hingga ke peringkat antarabangsa. Kami selalu beri maklum balas yang cepat untuk sebarang jemputan. Tak perlu tunggu sampai tiga bulan.

“Lakukan atas dasar hormat kawan lama, usah melalui pengurus sangat. Kita orang Melayu ada adab dan sopan santun. Janganlah sampai tahap tak menghormati orang lama,” tegasnya.

Scroll to Top