mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas melancarkan boikot terhadap skuad kebangsaan, Ultras Malaya tampil memberikan penjelasan terperinci mengenai tuntutan mereka menerusi gerakan ‘Kembalikan Bolasepak Kepada Rakyat’ (KBSKR).
Kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook itu menegaskan gerakan berkenaan bukan bertujuan merampas kuasa atau mengambil alih kepimpinan bola sepak negara, sebaliknya mahu melihat perubahan menyeluruh dari aspek tadbir urus.
Menurut mereka, apa yang diperjuangkan hanyalah satu perkara asas iaitu akauntabiliti dalam pengurusan bola sepak Malaysia.
“Ia bukan tuntutan untuk merebut jawatan. Ia bukan gerakan untuk menggantikan satu kelompok dengan kelompok yang lain. Kami bukan datang untuk ambil kerusi kalian, yang kami tuntut bukan kerusi, yang kami tuntut ialah akauntabiliti.
“Bola sepak Malaysia bukan milik mutlak mana-mana individu, institusi, kelompok politik, pemilik kelab, pegawai atau orang berkepentingan. Kalian yang menguruskan bola sepak ini ialah rakyat, bezanya kalian memegang amanah dan kuasa,” menurut kenyataan itu.
Ultras Malaya turut mengingatkan bahawa setiap kuasa yang dimiliki dalam ekosistem bola sepak perlu disertai dengan tanggungjawab yang jelas serta telus.
Mereka menegaskan semua pihak, tanpa mengira latar belakang, berada dalam ruang yang sama iaitu bola sepak milik rakyat dan tidak boleh disalah guna.
“Maka apabila kuasa itu digunakan, ia mesti datang bersama tanggungjawab. Siapa pun kalian, ahli politik, menteri, penjawat awam, kerabat, tauke, pemain, pegawai atau penyokong, kalian tetap berada dalam ruang yang sama.
“Jangan jadikan bola sepak sebagai alat kepentingan peribadi. Jangan jadikan institusi bola sepak sebagai ruang untuk melindungi kesilapan atau menjaga pengaruh,” katanya.
Dalam masa sama, mereka turut membangkitkan pelbagai isu lama yang dilihat terus berulang tanpa penyelesaian tuntas.
Antara isu diketengahkan termasuk gaji tertunggak, masalah kelab, jadual pertandingan yang sering berubah serta proses pelesenan yang dipersoalkan.
Lebih serius, Ultras Malaya menyifatkan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain sebelum ini sebagai krisis besar yang mencalar imej negara.
Mereka menegaskan perkara itu tidak boleh lagi dianggap sebagai kesilapan kecil, sebaliknya perlu dilihat sebagai kegagalan dari sudut akauntabiliti.
“Itu sebabnya KBSKR wujud. Bukan untuk merampas kuasa, tetapi untuk memaksa pembetulan. Kalau mahu bola sepak Malaysia bergerak ke depan, pembetulan mesti bermula dengan keberanian untuk mengakui masalah.
“Tidak boleh lagi semua benda disorok bawah karpet. Tidak boleh lagi rakyat bola sepak hanya diminta percaya tanpa penjelasan,” katanya.
Sebagai langkah awal, mereka mengemukakan beberapa cadangan termasuk menarik balik kerakyatan pemain yang diperoleh secara tidak sah serta memperkemaskan semula struktur pengurusan skuad kebangsaan.
Menurut mereka, pasukan Harimau Malaya perlu dikembalikan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memastikan ia berada di bawah struktur rasmi yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan.
Ultras Malaya turut menggesa reformasi menyeluruh dilakukan merangkumi tadbir urus, liga, kelab, pembangunan akar umbi hingga hubungan antara institusi dan penyokong.
“Bola sepak mesti diurus dengan amanah. Kuasa mesti datang dengan tanggungjawab. Institusi mesti boleh disemak dan penyokong mesti dihormati sebagai sebahagian daripada ekosistem.
“Ini bukan tentang siapa memegang kuasa, tetapi bagaimana bola sepak negara diuruskan untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




