Pelakon veteran Jalil Hamid disahkan meninggal dunia tengah hari tadi.
Berita sedih itu dikongsikan anaknya, Afiqah Jalil ketika dihubungi XTRA.
Menurut Afiqah, arwah bapanya berada di rumah sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Selepas solat Subuh, ayah tertidur. Kemudian sekitar jam 12.30 tengah hari tadi, ibu pergi periksa ayah dan didapati ayah sudah tiada,” katanya.
Afiqah turut memaklumkan jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan USJ 21.
“Kami sekeluarga mohon semua mendoakan urusan ayah dipermudahkan dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya lagi.
Difahamkan, arwah sebelum ini mempunyai sejarah masalah jantung.
Pemergian Jalil nyata memberi kesan besar kepada industri seni tempatan memandangkan arwah merupakan antara pelakon senior yang banyak menyumbang kepada dunia lakonan tanah air sepanjang penglibatannya dalam industri hiburan.




