'Kak Jahidah nampak lega, air matanya menitik lepas dibisikkan hukuman maksimum dijatuhkan terhadap bekas suaminya' – Adik

'Kak Jahidah nampak lega, air matanya menitik lepas dibisikkan hukuman maksimum dijatuhkan terhadap bekas suaminya' – Adik

am@hmetro.com.my

Seremban: Meskipun tidak mampu memberikan tindak balas, Jahidah Nordin, 48, menitiskan air mata saat dibisikkan hukuman yang dijatuhkan terhadap

Rosmaini Abdul Raof,Rosmaini Abdul Raof, 43, dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap wanita itu, lima tahun lalu.

Fauziah Nordin, 45, berkata, walaupun hukuman berkenaan tidak mampu mengembalikan kehidupan normal kakaknya, dia berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu.

“Saya gembira, sedih, semuanya bercampur baur dalam hati ini apabila tahu keputusan hukuman ke atas lelaki itu. Waktu baca berita itu, saya menangis, sebak.

“Mula-mula saya ingatkan hukumannya hanya penjara 10 tahun sahaja. Tetapi apabila baca tajuk, dia dipenjara 14 tahun, saya bersyukur walaupun ia tidak setimpal dengan apa yang dilalui Kak Jahidah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Dia berkata, ketika membaca berita itu, dia sedang berada di dalam kereta dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Saya segera pulang dan terus dapatkan kakak. Walaupun dia tidak beri respon, tetapi saya beritahu dia mengenai hukuman yang dihadapi bekas suaminya.

“Saya nampak perubahan pada mukanya, kakak nampak lega, tenang dan secara tiba-tiba air matanya menitik. Saya juga tidak dapat menahan perasaan,” katanya.

Fauziah berkata, hukuman tambahan dan bayaran ganti rugi yang dikenakan terhadap Rosmaini mungkin asbab doa Jahidah kerana wanita itu sebenarnya yang paling teraniaya.

“Sebelum ini kami berdoa semoga lelaki itu dikenakan hukuman yang lebih berat. Saya dapat rasa kakak juga berdoa dan saya juga sangat berterima kasih kepada masyarakat kerana selalu menyokong kami,” katanya.

Mengulas mengenai ganti rugi sebanyak RM25,000 yang perlu dilunaskan Rosmaini kepada Jahidah, Fauziah berkata, wang berkenaan boleh digunakan untuk membesarkan Eshan Nufail, lima tahun.

“Jika dia bayar wang itu, bolehlah gunakan untuk besarkan Nufail (anak Jahidah). Itupun kalau dia ada duit, kalau tidak, ditambah penjara lagi enam bulan,” katanya.

Ditanya mengenai wanita lain yang menjadi mangsa lelaki berkenaan, Fauziah berkata, wanita itu dianggap bernasib baik kerana masih lagi boleh bercakap.

“Berbanding dengan kakak, dia tidak boleh bercakap. Dia tidak boleh nak beritahu kita apa yang dia alami, beritahu kepada polis.

“Lelaki itu nampaknya memang tidak serik. Kepada wanita di luar sana, berhati-hati dengan manusia seperti ini,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, hukuman maksimum itu dikenakan terhadap Rosmaini, selepas panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Panel itu yang dipengerusikan oleh Datuk Azman Abdullah dan dianggotai Datuk Noorin Badaruddin serta Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid turut memerintahkan tertuduh membayar ganti rugi kepada mangsa sebanyak RM25,000 (penjara enam bulan jika gagal bayar).

Mahkamah memerintahkan hukuman berkenaan berkuat kuasa hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top