Singapura: Seorang pemandu bas mencuri perhatian dan menerima pujian meluas di media sosial selepas tindakannya menggunakan payung untuk melindungi penumpang daripada hujan lebat di perhentian bas Tiong Bahru Plaza, di sini, Isnin lalu.
Detik menyentuh hati itu dikongsikan menerusi satu hantaran di TikTok oleh @singaporeproperties dengan kapsyen ‘pemandu bas terbaik 2026’.
Memetik laporan MustShareNews, kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah hari di perhentian bas di luar Tiong Bahru Plaza ketika penumpang terperangkap dalam hujan lebat secara tiba-tiba.
Tanpa memikirkan dirinya, pemandu bas perkhidmatan 121 itu bertindak memayungi penumpang di pintu masuk supaya mereka dapat menaiki kenderaan berkenaan tanpa basah.
Individu yang berkongsi video itu menyatakan ia adalah kali pertama mereka menyaksikan ‘tindakan murni yang begitu indah’.
“Pemandu bas kami membuka payung dalam hujan lebat hanya untuk melindungi kami sebagai penumpang semasa menaiki bas,” tulisnya.
Mereka berkata, semua penumpang yang menaiki bas ketika itu tersenyum dan amat menghargai sikap prihatin itu.
Individu terbabit turut menggambarkan bagaimana pemandu bas itu saling berbalas senyuman dengan penumpang selain kelihatan benar-benar gembira serta bangga dengan tugasnya.t
Tindakan ringkas tetapi bermakna itu pantas menarik perhatian netizen dengan ramai yang memuji pemandu bas berkenaan kerana menjalankan tugas melebihi daripada tanggungjawab hakikinya.
Seorang pengguna TikTok menggesa syarikat SBS Transit supaya memberikan ‘bonus penghargaan’ kepada pemandu bas terbabit atas sikap baik dan prihatin yang ditunjukkan.
Individu yang memuat naik video itu mendedahkan mereka bertemu dengan pemandu bas berkenaan pada 27 April selepas selesai makan tengah hari di Tiong Bahru Plaza.
Sebagai maklum balas kepada pertanyaan media, jurucakap SBS Transit, Grace Wu berkata, keprihatinan pemandu bas itu memberikan perkhidmatan tambahan kepada penumpang mencerminkan budaya CARES syarikat dalam menyediakan perkhidmatan yang penyayang serta boleh dipercayai.
“Ia menegaskan komitmen kami dalam memastikan setiap perjalanan menjadi pengalaman yang menyenangkan untuk penumpang kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




