LATEST

Bakat muda takraw perlu terus digilap – Azlan

Bakat muda takraw perlu terus digilap – Azlan

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: Suspek bunuh wanita ditahan selepas skuter rempuh gajah liar

Kuala Lumpur: Perejam utama negara, Azlan Alias melihat Klinik Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 antara platform terbaik bagi membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda untuk mengembangkan potensi dalam sukan sepak takraw.

Jelas Azlan, kehadiran lebih 100 peserta pada program itu menunjukkan generasi muda mempunyai minat yang cukup mendalam terhadap sukan sepak takraw.

Sebab itu, segala program yang dijalankan harus diteruskan bagi memastikan bakat cilik itu terus mempunyai saluran untuk menimba ilmu.

Menurutnya, penganjuran klinik seumpama itu bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mempelajari asas permainan daripada jurulatih bertauliah, malah membolehkan mereka mendapatkan perkongsian pengalaman daripada bekas pemain kebangsaan.

“Saya harap program atau klinik ini boleh berjalan berterusan. Harap kita dapat melihat pemain muda yang mampu pergi jauh dalam sukan sepak takraw. Program ini bagus kerana pemain dapat berkumpul dan belajar bersama. Kalau kita mahu melihat pemain ini pergi lebih jauh, mereka perlu banyak menyertai pertandingan.

“Saya berpuas hati dan berharap pada masa akan datang kita dapat meneruskan program sama. Insya-Allah, pasti ramai lagi bakat yang boleh diketengahkan,” katanya.

Mengulas mengenai keperluan melahirkan lebih ramai pemain berkualiti, pemenang pingat emas regu berpasukan Sukan Asia 2026 itu melihat pembangunan bakat tidak seharusnya tertumpu kepada satu posisi sahaja, sebaliknya perlu merangkumi ketiga-tiga posisi utama iaitu perejam, tekong dan pengumpan.

Baginya, Malaysia perlu mempergiat program pembangunan akar umbi bagi mengenal pasti pemain berpotensi sebelum mereka dibimbing ke tahap lebih tinggi, sekali gus merapatkan jurang dengan negara seperti Thailand yang mempunyai lebih banyak sekolah sukan.

“Saya bukan mahu seorang pemain sahaja. Kalau boleh, saya mahu ramai pemain dilahirkan untuk ketiga-tiga posisi.

“Kita tidak boleh membandingkan diri dengan Thailand kerana mereka mempunyai banyak sekolah sukan. Jadi, di Malaysia kita perlu mengadakan program seperti ini supaya dapat melihat pemain yang bagus dan membawa mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, tekong utama negara, Syahir Rosdi turut menyambut baik penganjuran klinik berkenaan yang disifatkannya sebagai platform positif untuk menarik minat lebih ramai generasi muda terhadap sepak takraw.

Malah, tekong tinggi lampai itu berharap program berkenaan mempunyai kesinambungan pada masa akan datang, selain menawarkan hadiah lebih lumayan menerusi kejohanan bagi meningkatkan tarikan kepada pemain muda.

“Alhamdulillah, klinik sepak takraw Mekdi ini mendapat sambutan baik dan saya harap ada kesinambungan selepas ini.

“Saya juga berharap kejohanan akan datang menawarkan hadiah lebih lumayan supaya dapat menarik minat budak-budak untuk bermain takraw.

“Terima kasih kepada Mekdi dan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke klinik ini bagi membantu kita mencari bakat-bakat sepak takraw di Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news