LATEST

‘Protokol tidak tersilap’ – Tunku Azizah berkenan duduk sebaris bersama graduan

‘Protokol tidak tersilap’ – Tunku Azizah berkenan duduk sebaris bersama graduan

GOMBAK: Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencuri perhatian apabila berkenan duduk sebaris dengan graduan lain sebagai seorang pelajar pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-42, di sini hari ini.

Tengku Ampuan Pahang bertitah, tindakan baginda beredar daripada rombongan diraja dan mengambil tempat di celah barisan graduan sarjana bukan satu kesilapan protokol, sebaliknya melambangkan dua peranan berbeza yang dipikulnya pada majlis berkenaan.

Baca juga: PRN Sarawak: Pertandingan empat penjuru di Batu Lintang

Tunku Azizah bertitah, baginda memasuki dewan bersama suami tercinta, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan mengurniakan ijazah kepada baginda sendiri dan para graduan.

“Saya masuk ke dewan ini sebagai Tengku Ampuan Pahang. Saya duduk bersama saudara dan saudari sebagai seorang pelajar.

“Saya melangkah ke pentas ini bersama rakan-rakan graduan dan menerima skrol daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, sama seperti graduan yang lain.

“Kemudian, saya kembali ke tempat duduk saya di atas pentas ini sebagai Ketua Perlembagaan UIAM,” titah baginda.

TUNKU AZIZAH AMINAH MAIMUNAH ISKANDARIAH

Baginda bertitah, kedudukan di atas pentas melambangkan jawatan yang diamanahkan, manakala jubah sarjana yang dipakai mencerminkan kelayakan akademik yang diperoleh menerusi usaha sendiri.

Malah, baginda berseloroh bahawa meskipun Senat universiti sudah meluluskan pengijazahannya, baginda masih belum boleh mendapatkan transkrip akademik selagi yuran tertunggak belum dijelaskan.

“Maka, pada hari yang istimewa ini, saya berdiri di hadapan anda semua sebagai Ketua Perlembagaan universiti ini dan, dengan rasa bangga serta rendah hati, sebagai salah seorang graduannya,” titah baginda.

Baginda turut menjelaskan bahawa jawatan sebagai Ketua Perlembagaan universiti merupakan amanah yang diserahkan kepadanya, manakala kedudukan sebagai graduan perlu diperoleh menerusi usaha sendiri.

Titah baginda, sebagai Ketua Perlembagaan, tempatnya lazimnya di atas pentas, namun sebagai pelajar, baginda perlu menghadiri kelas, mendengar kuliah, menyiapkan tugasan dan tekun menulis tesis.

“Dalam majlis rasmi, ada kalanya orang menunggu saya. Sebagai pelajar, saya dapati tarikh akhir tidak menunggu sesiapa!” titah baginda.

Tunku Azizah menerima Ijazah Sarjana Sastera Pemikiran dan Tamadun Islam menerusi kajian bertajuk ‘Hukum Kanun Pahang: Satu Kajian tentang Perlembagaan Melayu-Islam yang Berdaulat’. – UTUSAN

The post ‘Protokol tidak tersilap’ – Tunku Azizah berkenan duduk sebaris bersama graduan appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news