am@hmetro.com.my
Baca juga: PRN Sarawak: Nur Syafawani anggap kemenangan satu amanah, sedia bekerja keras untuk Bekenu
Selayang: Kejayaan pakar perubatan Hospital Selayang menyambung semula kedua-dua belah tangan pesakit yang terputus dalam tiga kes sepanjang tempoh 18 tahun disifatkan sebagai pencapaian luar biasa dan jarang berlaku, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat dunia.
Ketua Perkhidmatan Kepakaran Ortopedik Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangkap Ketua Jabatan Ortopedik Hospital Selayang, Datuk Dr Rashdeen Fazwi Muhammad Nawawi berkata, dalam literatur perubatan antarabangsa sendiri, tidak banyak kes membabitkan kedua-dua tangan putus berjaya disambungkan semula.
Menurutnya, kejayaan terbaru direkodkan pada Ogos lalu membabitkan seorang lelaki tempatan yang putus kedua-dua pergelangan tangan akibat terkena mesin pemotong kayu di tempat kerjanya di Serdang.
Katanya, pembedahan rumit itu berjaya disempurnakan dalam tempoh lapan jam dengan menggabungkan dua pasukan bedah yang beroperasi secara serentak.
“Pembedahan tangan kiri dikendalikan oleh saya sendiri, manakala tangan kanan dilakukan Pengerusi Sub-Kepakaran Anggota Atas dan Pembedahan Mikro Kebangsaan merangkap Ketua Unit Tangan dan Mikrosurgeri, Jabatan Ortopedik Hospital Selayang, Dr Syahril Rizal Arsad.
“Apabila menyambung anggota yang terputus, kejayaan dinilai pada dua peringkat. Peringkat awal ialah anggota itu berjaya disambung semula.
“Namun, kejayaan sebenar hanya dapat dilihat dalam tempoh setahun hingga dua tahun selepas pembedahan bagi menilai sejauh mana fungsi tangan itu pulih,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, Dr Rashdeen berkata, melalui sesi terapi dan rehabilitasi intensif yang berterusan, pesakit dijangka mampu memperoleh semula antara 70 hingga 80 peratus fungsi asal tangannya dalam tempoh maksimum dua tahun.
“Mungkin ada yang bertanya mengapa hanya 70 hingga 80 peratus? Cuba bayangkan perbezaan antara hidup tanpa tangan berbanding memiliki tangan yang boleh berfungsi 70 peratus. Ia sudah cukup besar maknanya untuk mengubah kualiti hidup pesakit.
“Kita akan pantau perkembangannya secara berkala di wad rehabilitasi. Dalam tempoh enam bulan, sembilan bulan atau setahun akan datang, pesakit mungkin memerlukan pembedahan susulan sebelum mencapai tahap pemulihan optimum dalam masa 18 hingga 24 bulan,” katanya.
Sejak Unit Tangan dan Pembedahan Mikro ditubuhkan di Hospital Selayang pada 1999, kira-kira 60 pembedahan major membabitkan penyambungan semula tangan yang putus berjaya dilaksanakan.
Bagaimanapun, Dr Rashdeen menjelaskan bahawa bukan semua anggota yang putus boleh disambung semula kerana ia tertakluk kepada beberapa syarat klinikal yang ketat, terutama tahap kestabilan pesakit.
“Kita tidak akan meneruskan pembedahan sekiranya pesakit mengalami kecederaan kritikal lain seperti di kepala, dada atau pendarahan dalam otak yang boleh mengancam nyawa.
“Selain itu, cara anggota yang terputus itu disimpan serta faktor masa memainkan peranan amat penting. Pesakit perlu dikejarkan segera ke pusat perubatan yang mempunyai kepakaran mikrosurgeri,” katanya.
Beliau turut memperincikan lima faktor utama yang menyebabkan prosedur penyambungan semula tangan terpaksa ditolak, antaranya membabitkan zon kecederaan yang terlalu luas atau hancur seperti digilis tayar kenderaan dan letupan mercun.
“Kedua, kelewatan pesakit tiba di hospital melebihi 12 jam. Ketiga, pesakit menghidap penyakit kronik seperti masalah jantung yang menjadikan pembedahan panjang amat berisiko.
“Keempat adalah faktor usia, iaitu warga emas berusia 65 tahun ke atas atau kanak-kanak di bawah tujuh tahun kerana struktur salur darah dan saraf mereka terlalu halus.
“Kelima ialah kecederaan akibat gigitan haiwan seperti anjing. Selain zon koyakan yang besar, risiko jangkitan kuman berbahaya daripada mulut haiwan menyebabkan penyambungan tidak selamat dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, majoriti kes penyambungan tangan yang diterima di Hospital Selayang berpunca daripada kemalangan jalan raya dan kemalangan di tempat kerja, manakala kes membabitkan pergaduhan kumpulan pula menunjukkan trend penurunan.
© New Straits Times Press (M) Bhd