Madrid: Empat belas orang maut dan 90 lagi diselamatkan selepas sebuah bot migran ditemukan hanyut kira-kira 72 kilometer dari Pulau El Hierro, Sepanyol pada Jumaat, lapor Xinhua yang memetik agensi berita Sepanyol, EFE.
Baca juga: Prof. Azhar ‘lahir’ lima graduan doktor falsafah
Bot itu berlepas dari Banjul, ibu negara Gambia, 10 hari sebelum itu. Menurut siasatan awal, enjin bot berkenaan mengalami kerosakan tiga hari sebelum ditemukan, menyebabkannya hanyut di laut, menurut EFE dan akhbar Sepanyol, El Pais.
Operasi menyelamat itu melibatkan kapal daripada Perkhidmatan Penyelamat Maritim Sepanyol dan Pengawal Awam serta sebuah helikopter. Enam individu yang berada dalam keadaan serius dipindahkan menggunakan helikopter ke sebuah hospital di El Hierro, manakala 84 lagi yang terselamat dibawa ke Pelabuhan La Restinga menaiki kapal Perkhidmatan Penyelamat Maritim. Bot migran itu kemudian ditunda ke pelabuhan berkenaan oleh bot peronda Pengawal Awam, menurut EFE.
Jumlah ketibaan migran di Kepulauan Canary meningkat mendadak sejak beberapa minggu lepas. Pada 24 Nov, lebih 2,100 migran tiba di El Hierro menerusi laluan migrasi Atlantik, lapor EFE.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Sepanyol, seramai 28,155 orang tiba di Sepanyol melalui laut menggunakan laluan migrasi tidak sah antara Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat 4.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. Daripada jumlah itu, 13,327 orang tiba di Kepulauan Canary dalam tempoh berkenaan, merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan ketibaan migran melalui laut di Sepanyol.
© New Straits Times Press (M) Bhd