LATEST

Spygate jadi sejarah, Southampton kembali mengganas

Spygate jadi sejarah, Southampton kembali mengganas

Southampton: Southampton menewaskan Middlesbrough 2-0 dalam pertemuan pertama antara kedua-dua kelab sejak tercetusnya skandal mengintip latihan atau ‘Spygate’ yang menggemparkan saingan Liga Kejuaraan musim lalu.

Baca juga: Alonso rayu Chelsea terus bersatu

Kemenangan di Stadium St Mary’s itu hadir dalam suasana tegang apabila perseteruan antara kedua-dua pasukan masih belum reda, dengan 10 pemain dilayangkan kad kuning sepanjang perlawanan.

Southampton sebelum ini disingkirkan daripada final play-off Liga Kejuaraan musim lalu selepas mengaku menghantar penganalisis untuk merakam sesi latihan Middlesbrough dari sebalik semak sebelum aksi pertama separuh akhir play-off.

Kelab itu turut mengintip sesi latihan Ipswich Town dan Oxford United sebelum perlawanan liga musim lalu.

Hukuman berkenaan menyebabkan Southampton kehilangan peluang merebut tiket ke Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi final play-off menentang Hull City, yang akhirnya menewaskan Middlesbrough untuk mengesahkan promosi.

Pengendali Southampton, Tonda Eckert, yang didakwa menjadi dalang operasi berkenaan, dikenakan penggantungan enam minggu secara tertangguh sehingga penghujung musim 2027-28.

Southampton turut memulakan musim ini dengan potongan empat mata susulan kesalahan berkenaan, namun masih memburu peluang untuk mendapatkan promosi automatik.

Middlesbrough pula memulakan perlawanan sebagai pendahulu liga, tetapi Southampton berjaya mencuri tumpuan menerusi jaringan Ryan Manning dan Finn Azaz pada babak kedua.

Kemenangan itu melonjakkan Southampton ke tangga keenam, empat mata di belakang Middlesbrough.

Eckert menyifatkan perlawanan itu antara aksi terbaik yang mampu disajikan Liga Kejuaraan, selain berpuas hati dengan prestasi anak buahnya.

“Ini antara perlawanan terbaik yang mampu dihasilkan Liga Kejuaraan. Ada beberapa detik yang boleh memihak kepada kedua-dua pasukan, tetapi saya fikir kami berhak menang sepanjang 90 minit.

“Perlawanan seperti ini membangkitkan emosi dan anda perlu menggunakannya sebagai kelebihan.

“Saya berterima kasih kepada kelab dan penyokong. Kelab sebenarnya mempunyai hak untuk membuat keputusan berbeza selepas insiden Spygate.

“Realitinya, kami memulakan musim dengan potongan empat mata dan masih berusaha mengejar kedudukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news