Kuala Lumpur : Pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, menyeru umat Islam agar bersama-sama memelihara kesucian agama serta tidak membiarkan perkara yang menyentuh asas ajaran Islam dipandang ringan hingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.
Baca juga: Dr Chandra Muzaffar meninggal dunia
Menurutnya, isu berkaitan solat tidak wajar dijadikan bahan perdebatan berpanjangan apatah lagi apabila ia membabitkan perkara asas dalam kehidupan seorang Muslim yang perlu dihormati dan dipelihara.
“Kita pelihara agama bersama, jangan biarkan perkara yang ada ini melarat, insya-Allah. Lama-kelamaan, rosaklah kita apabila perkara yang baik semuanya tidak lagi terlihat. Ini soal solat, tak perlu sibuk, tolonglah,” katanya.
Suami kepada usahawan selebriti, Neelofa itu, turut mengingatkan bahawa terdapat perkara yang tidak seharusnya dipermainkan, khususnya berkaitan Allah SWT dan Rasulullah SAW kerana kedua-duanya adalah asas pegangan serta keimanan umat Islam.
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Kafirun, ayat 6, “Lakum dinukum wa liya din” yang bermaksud bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku, sebagai peringatan supaya batas agama masing-masing dihormati.
Dalam masa sama, PU Riz menegaskan Islam merupakan agama yang mempunyai kedudukan tinggi dan tidak seharusnya dipandang rendah atau dicabar kesuciannya.
“Islam ya’lu wa la yu’la ‘alayh (Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya). Ini negeri majoriti Islam, tak perlulah sibuk, cukuplah, cukuplah,” katanya.
PU Riz berharap semua pihak dapat menghentikan polemik yang tidak membawa manfaat serta kembali menghormati sensitiviti agama.
© New Straits Times Press (M) Bhd