am@hmetro.com.my
Baca juga: Sektor kesihatan pacu prospek positif Al-Aqar REIT
Kuala Lumpur: Tokoh sains politik dan aktivis masyarakat, Dr Chandra Muzaffar, 79, menghembuskan nafas terakhir di Hospital KPJ Damansara, hari ini.
Berita itu disahkan cucunya yang dihubungi, sebentar tadi.
“Allahyarham dikejarkan ke hospital kerana masalah jantung dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 6 petang tadi.
“Ketika ini ahli keluarga masih di hospital dan maklumat selanjutnya mengenai urusan pengurusan jenazah akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Dalam pada itu, berita pemergian cendekiawan itu turut dikongsi Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST), organisasi yang dipimpinnya sebagai presiden.
Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook, JUST menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Chandra dan memaklumkan butiran lanjut berhubung urusan pengebumian akan diumumkan sebaik maklumat lanjut diperolah.
“Dengan penuh rasa dukacita, kami ingin memaklumkan mengenai pemergian Dr Chandra Muzaffar, Presiden JUST.
“Kami amat berdukacita atas pemergian beliau dan akan memaklumkan butiran lanjut berhubung urusan pengebumian sebaik sahaja maklumat berkenaan diperoleh.
“Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan keberkatan ke atas roh Allahyarham serta menempatkan beliau dalam kalangan orang yang soleh,” katanya.
Dr Chandra adalah antara individu penting penubuhan PKR dan pernah menjawat jawatan sebagai Naib Presiden itu.
Selain dikenali sebagai aktivis hak asasi manusia, Dr Chandra juga banyak menyumbang dalam bidang keadilan sosial, dialog antara agama dan hubungan antara peradaban.
© New Straits Times Press (M) Bhd