LATEST

Sektor kesihatan pacu prospek positif Al-Aqar REIT

Sektor kesihatan pacu prospek positif Al-Aqar REIT

Kuala Lumpur : JLG REIT Managers Sdn Bhd yang bertindak menguruskan Al-Aqar Healthcare REIT (Al-Aqar REIT) mengumumkan laporan kewangan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (Q3 2026) yang merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun bagi suku keempat berturut-turut sejak pemerolehan dua hospital KPJ disempurnakan pada Oktober 2025.

Baca juga: Pelantikan enam EXCO pulihkan pentadbiran Negeri Sembilan – Ahmad Zahid

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 2026 (9M 2026), Al-Aqar REIT ialah amanah pelaburan hartanah (REIT) penjagaan kesihatan Islam pertama di dunia dan satu-satunya REIT penjagaan kesihatan patuh Syariah di Malaysia – mencatatkan pendapatan sebanyak RM99.6 juta, meningkat 13.6 peratus berbanding RM87.7 juta pada tahun sebelumnya.

Pendapatan Hartanah Bersih (NPI) pula naik 14.6 peratus kepada RM87.5 juta berbanding RM76.3 juta setahun lalu.

Peningkatan pendapatan dan NPI itu disumbangkan terutamanya oleh hasil sewaan bangunan baharu yang diperoleh di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri dan Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang.

Untung Selepas Cukai (PAT) bagi 9M 2026 berada pada paras RM51.8 juta, mewakili kenaikan 7.9 peratus tahun ke tahun berbanding RM48.0 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Secara sukuan bagi Q3 2026, pendapatan dan NPI masing-masing berkembang sebanyak 13.7 peratus dan 15.7 peratus, manakala PAT melonjak 14.9 peratus kepada RM18.7 juta.

Al-Aqar REIT turut mengisytiharkan agihan pendapatan interim ketiga sebanyak 2.07 sen seunit bagi Q3 2026, menjadikan jumlah agihan pendapatan bagi 9M 2026 sebanyak 5.76 sen seunit berbanding 5.20 sen seunit yang diagihkan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif pengurus dana itu, Zulhilmy Kamaruddin, berkata Al-Aqar REIT terus mencatat pertumbuhan tahun ke tahun dalam sembilan bulan pertama 2026 menerusi sumbangan sewaan berterusan daripada bangunan baharu Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri dan Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang.

“Peningkatan prestasi operasi kami mencerminkan manfaat daripada peluasan portfolio serta tumpuan berterusan dalam menguruskan perbelanjaan hartanah.

“Melangkah ke hadapan, kami kekal positif terhadap prospek jangka panjang sektor penjagaan kesihatan Malaysia. Peruntukan RM200 juta oleh kerajaan di bawah Belanjawan 2027 untuk memperluas Program Penyumberan Luar Perkhidmatan Hospital (HSOP) mencerminkan sokongan berterusan terhadap kerjasama awam-swasta dalam penyampaian penjagaan kesihatan,” katanya.

Menurut beliau, langkah itu bersama akses lebih luas kepada perlindungan perubatan menerusi MediAsas menyokong permintaan berterusan terhadap kemudahan penjagaan kesihatan swasta berkualiti, seterusnya mengukuhkan nilai jangka panjang hartanah kesihatan milik syarikat.

“Walaupun ketegangan geopolitik global dan tekanan kos yang meningkat boleh menimbulkan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan yang lebih luas, aset penjagaan kesihatan secara sejarahnya menunjukkan ciri defensif kerana perkhidmatan kesihatan bersifat keperluan asas.

“Dalam situasi ini, fokus kami kekal kepada pengukuhan daya tahan portfolio melalui struktur pajakan jangka panjang dan pengurusan modal berdisiplin, sambil menilai secara terpilih peluang yang menambah nilai hasil bagi memberikan pulangan mampan jangka panjang kepada pemegang unit,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news