LATEST

Fury dibenarkan beraksi lawan Joshua

Fury dibenarkan beraksi lawan Joshua

London: Tyson Fury mendapat kelulusan badan tinju Britain untuk berdepan Anthony Joshua bulan depan selepas timbul kebimbangan berhubung keadaan kesihatan mental petinju heavyweight itu.

Baca juga: Haaland gembira di Man City – Maresca

British Boxing Board of Control (BBBoC) sebelum ini memaklumkan akan menyiasat kenyataan isteri Fury, Paris, yang mendakwa suaminya pernah didiagnosis menghidap skizofrenia.

Dakwaan itu muncul dalam versi awal dokumentari Netflix yang dijadual ditayangkan hari ini, dengan Paris mendakwa Fury menerima diagnosis berkenaan beberapa bulan selepas menewaskan Wladimir Klitschko dalam pertarungan perebutan gelaran dunia pada November 2015.

Bagaimanapun, Paris kemudian menarik balik dakwaan itu, manakala Setiausaha Agung BBBoC, Robert Smith mengesahkan Fury sudah melepasi pemeriksaan perubatan yang diperlukan.

“Fury sudah mendapat kelulusan malam tadi. Semua pemeriksaan perubatan terkini sudah selesai dan promoter dimaklumkan pagi ini,” katanya kepada Sky Sports.

Paris dalam kenyataan pada Khamis menjelaskan beliau menggunakan istilah skizofrenia ketika mengimbas perbualan lama mengenai keadaan suaminya, namun Fury tidak menghidap penyakit itu dan tidak pernah menerima diagnosis berkenaan.

Beliau berkata, kesihatan mental adalah perkara kompleks dan tidak mudah untuk mencari perkataan tepat ketika berdepan situasi sedemikian, selain menyatakan kebanggaan terhadap keterbukaan Fury berkongsi pengalaman dalam dokumentari itu.

Fury, 38, dijadual berdepan Joshua dalam pertarungan heavyweight yang dinanti-nantikan antara dua petinju Britain itu di Cardiff pada 11 Disember ini.

Fury sebelum ini terbuka berkongsi perjuangannya berdepan masalah kesihatan mental selepas menewaskan Klitschko, yang menyaksikan beliau berehat hampir tiga tahun daripada dunia tinju, selain berdepan masalah berat badan, pemikiran untuk membunuh diri serta penyalahgunaan dadah dan alkohol.

Fury mengakui pernah mendengar suara dalam fikirannya selepas kemenangan itu, selain menggambarkan tempoh berkenaan sebagai fasa gelap yang amat menakutkan dalam hidupnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news