saadiah_ismail@bh.com.my
Baca juga: “Tidak wajar & tidak beradab” -Asyraf Wajdi tegur hiburan ala konsert di konvokesyen UniKL
Kuala Lumpur: Lembaga Peperiksaan (LP) sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa susulan penyebaran maklumat berhubung dakwaan kebocoran kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
Laporan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“LP memandang serius isu penyebaran maklumat berhubung dakwaan kebocoran kertas peperiksaan SPM Tahun 2026.
“Berdasarkan maklumat yang tular di media sosial Threads oleh beberapa pengguna yang dipercayai menjadi calon peperiksaan, isu itu dipercayai membabitkan modus operandi pihak yang menjalankan kegiatan penipuan.
“Ia bertujuan mengambil kesempatan terhadap kebimbangan dan keinginan calon untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” menurut agensi ini dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan dakwaan kertas peperiksaan Pendidikan Moral SPM 2026 bocor dan tular di media sosial dua hari lalu, didapati tidak menepati tafsiran kebocoran soalan.
Tafsiran itu berdasarkan kepada Dasar Pentaksiran Kebangsaan Edisi Ketiga Tahun 2023.
Semakan mendapati hantaran dikesan pada 11.44 pagi iaitu selepas peperiksaan Pendidikan Moral tamat pada 10.45 pagi.
Dalam pada itu, LP juga tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan dakwaan kebocoran kertas peperiksaan tanpa asas sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan calon, ibu bapa dan masyarakat.
“LP menasihati calon, ibu bapa dan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, tidak mudah terpedaya dengan tawaran penjualan soalan peperiksaan serta tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
“LP kekal komited dalam memastikan keselamatan, kerahsiaan, integriti dan kredibiliti peperiksaan awam sentiasa terpelihara demi menjamin keadilan kepada semua calon,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd