LATEST

Epal ‘hilang’ 100 tahun ditemui semula

Epal ‘hilang’ 100 tahun ditemui semula

Washington: Seorang penuntut universiti tidak menyangka kunjungannya ke taman awam untuk berehat daripada mengulang kaji pelajaran membawa kepada penemuan semula varieti epal yang dipercayai sudah hilang daripada pasaran sejak kira-kira 100 tahun lalu, lapor PEOPLE.

Baca juga: Nabila Kongsi Video Lokasi Majlis Kahwin, Ramai Tak Sabar Tunggu Hari Bahagia

Tayettin Brodzinski, 23, menemukan pokok epal Walbridge di Lawson Gardens, taman awam kegemarannya pada 23 Ogos 2025 ketika masih menuntut di Washington State University, Pullman.

Ketika itu, dia mengikuti kelas genetik hortikultur yang memerlukan pelajar mengambil sampel daun daripada pokok buah-buahan yang tidak diketahui jenisnya untuk dianalisis dan dikenal pasti.

Brodzinski membawa sampel daun pokok berkenaan ke kelas selepas tertarik dengan buahnya yang berwarna hijau pucat dan menyerupai epal Granny Smith.

Bagaimanapun, ujian awal tidak menemukan padanan asid deoksiribonukleik (DNA) dengan mana-mana varieti epal yang diketahui.

Pensyarahnya, Dr Cameron Peace, kemudian mendapati profil DNA sampel itu sepadan dengan sekumpulan varieti epal yang belum dikenal pasti.

Kira-kira seminggu kemudian, dia mendapat petunjuk bahawa pokok itu mungkin varieti Walbridge selepas teringat maklumat mengenainya daripada Dave Benscott, wakil Lost Apple Project.

Pasukan Peace kemudian mengumpulkan buah daripada pokok itu sebelum menghantarnya kepada pakar di Maine serta Ohio untuk pemeriksaan lanjut.

Pada 6 Februari tahun ini, Peace bersama anggota Historic Fruit Tree Working Group of North America meneliti bukti dan data penemuan itu menerusi perbincangan dalam talian sebelum mengesahkan pokok berkenaan sememangnya varieti Walbridge.

Menurut Brodzinski, varieti Walbridge berasal dari Illinois pada 1818 sebelum popular di kawasan Midwest dan kemudian wilayah barat Amerika Syarikat.

Epal itu digemari kerana rasanya yang sesuai digunakan dalam masakan.

Bagaimanapun, varieti berkenaan mula hilang daripada pasaran sekitar 1920-an. Hasil penyelidikannya mendapati pokok Walbridge memerlukan penjagaan lebih rapi kerana pertumbuhannya yang subur sekali gus memerlukan pemangkasan secara berkala.

Keperluan itu dipercayai antara faktor yang menyebabkan penanaman varieti berkenaa semakin ditinggalkan.

Brodzinski menyifatkan rasa epal Walbridge sebagai manis dan tidak terlalu masam, seakan-akan gabungan epal Granny Smith dengan Cosmic Crisp.

Dia turut mengakui penemuan itu mengubah pandangannya terhadap epal yang sebelum ini kurang digemarinya selepas berpeluang mencuba pelbagai varieti yang dipetik terus dari pokok.

Penemuan itu juga menjadi pencapaian penting kepada Lost Apple Project yang sudah mencari varieti berkenaan selama kira-kira 13 hingga 14 tahun.

Menurut Peace, organisasi itu kini membiakkan semula Walbridge dan mengedarkan anak pokok kepada pihak yang berminat bagi memastikan varieti berkenaan terus dipelihara.

Brodzinski turut merancang memperkenalkan semula epal Walbridge di negeri kelahirannya, Montana.

Setakat ini, dia sudah menghasilkan kira-kira 16 pokok melalui kaedah cantuman serta mempunyai 13 anak pokok daripada biji benih untuk dikembangkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news