LATEST

BAP tidak sama dengan BKJ – Fadhlina

BAP tidak sama dengan BKJ – Fadhlina

am@hmetro.com.my

Baca juga: Bitget Memperkenalkan Pinjaman Institusi Luar Bursa Pertama dalam Industri dengan Leveraj Sehingga 4x

Kuala Lumpur: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menegaskan konteks pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tidak boleh disamakan dengan isu membabitkan Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.

Beliau berkata, yang dipertikaikan ketika itu bukan pemberian bantuan kepada rakyat tetapi kewajaran meneruskan pengagihan bantuan kerajaan Johor secara bersemuka dengan membabitkan ahli politik selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan dan negeri sedang menuju pilihan raya.

“Saya fikir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, perlu melihat semula fakta dan konteks sebelum menggunakan BAP untuk mempertahankan kaedah pengagihan BKJ.

“Jangan kita lupa keluhan warga emas yang terpaksa beratur panjang dan menunggu berjam-jam untuk menerima bantuan.

“Bantuan kerajaan sepatutnya meringankan beban rakyat bukan menambah kesulitan mereka.

“BAP pula adalah bantuan tahunan yang dilaksanakan mengikut takwim persekolahan yang mana kita mahu ibu bapa bertemu dengan guru yang mendidik anak-anak mereka, bukannya Perdana Menteri, menteri atau mana-mana ahli politik,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya, di sini, hari ini.

Sebelum itu, media melaporkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi seolah menyindir mengenai pendekatan pelaksanaan BAP, ketika sesi penggulungan Belanjawan Johor 2027 di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.

Onn Hafiz berkata, perkara itu menimbulkan persoalan apabila kaedah penyerahan BKJ secara bersemuka yang sebelum ini dikritik ketika Pakatan Harapan (PH) memegang mandat, kini turut dilaksanakan menerusi BAP.

Fadhlina menjelaskan dapatan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 menunjukkan hanya 34 peratus murid di negara ini berbincang dengan ibu bapa atau penjaga mengenai masalah yang dihadapi di sekolah sekurang-kurangnya sekali seminggu berbanding 46 peratus pada 2022.

Katanya, penurunan ini perlu diberikan perhatian serius memandangkan pelbagai cabaran pendidikan, termasuk isu disiplin dan kesihatan mental murid dihadapi.

“Usaha menangani cabaran ini tidak boleh diserahkan kepada guru semata-mata, jadi pembabitan aktif ibu bapa amat diperlukan.

“Justeru, kita mahu memanfaatkan kesempatan pengagihan BAP untuk memperkukuh hubungan antara ibu bapa dengan guru, di samping memastikan urusan penerimaan bantuan dipermudah.

“Kita mahu ibu bapa pulang dari sekolah bukan hanya dengan RM200 di tangan tetapi juga dengan kefahaman yang lebih baik mengenai perkembangan anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua perkara itu jelas berbeza dari sudut konteks dan rasional pelaksanaannya.

“Saya kira perbezaan konteks dan rasional pelaksanaan kedua-dua bantuan ini cukup jelas.

“Tidak perlulah Menteri Besar Johor menjadikan BAP sebagai justifikasi terhadap kaedah pengagihan BKJ yang menimbulkan kesulitan kepada rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news