LATEST

Jenazah Kapten AA akan disemadikan di Muscat

Jenazah Kapten AA akan disemadikan di Muscat

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Baca juga: UDA tawar ganjaran hampir RM100,000 sempena ulang tahun ke-55

Kuala Lumpur: Jenazah pengacara dan personaliti media sosial RARETV, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA akan disemadikan di Muscat, Oman.

Perkembangan itu dimaklumkan pengasas RARETV, Saiful Nang menerusi kenyataan untuk hebahan umum di media sosialnya, petang tadi.

Menurutnya, tarikh dan waktu pengebumian Allahyarham masih menunggu urusan dokumentasi dengan pihak kerajaan Oman.

“Perkembangan terkini, jenazah Allahyarham Akhmal Asyraf akan disemadikan di Muscat, Oman.

“Keluarga Allahyarham termasuk ibu bapa dan pengasas RPWP akan mula tiba di Muscat pada tengah hari esok,” tulisnya dalam hantaran.

Hari ini, Harian Metro melaporkan jus mangga antara permintaan terakhir pengacara dan personaliti media sosial RARETV, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA, sebelum ditidurkan di sebuah hospital di Muscat, Oman, Rabu lalu.

Rakyat Malaysia yang 15 tahun menetap di Muscat, Mohsin Shaik, 45, yang turut membantu urusan Allahyarham di Oman berkata, dia masih mengingati permintaan itu yang disuarakan Kapten AA pada petang 25 November lalu.

Katanya, Allahyarham sebelum itu mengalami demam ketika menjalani penggambaran program Kembara Wahyu terbitan TV AlHijrah di Nizwa sebelum mendapatkan rawatan di hospital di bandar itu dan kemudian dipindahkan ke hospital di Muscat.

Terdahulu, Kapten AA yang berada di Oman bagi menjalani penggambaran program Kembara Wahyu demam dan mengalami jangkitan paru-paru sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Nizwa, namun kemudian dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat.

Allahyarham Kapten AA menghembuskan nafas terakhir pada 6.58 petang waktu Oman (10.58 malam waktu Malaysia) semalam.

Berita pemergian Allahyarham dikongsikan Pengasas RARETV, Saiful Nang menerusi hantaran di Threads.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news