Ampang: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua badan penguatkuasaan mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi terhadap isu penyeludupan dadah, termasuk kes ketirisan yang didakwa membabitkan penggunaan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Baca juga: Ubai enggan kecewa lagi
Perdana Menteri menegaskan, penyalahgunaan jentera dan aset kerajaan oleh pihak tidak bertanggungjawab adalah pengkhianatan serta ancaman besar kepada keselamatan negara, apatah lagi ia membabitkan benteng pertahanan negara.
”Mana mungkin kita izinkan benteng pertahanan kita bocor dan dipergunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab? Ini khianat kepada negara dan bahayanya besar,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Ampang hari ini.
Perdaa Menteri berkata, isu penyeludupan dadah menerusi pesawat TUDM bukanlah perkara baharu dan sudah mendapat perhatian serius menerusi perbincangan serta kepastian daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, supaya dipantau secara rapi.
Beliau berkata, masalah ketirisan itu bersifat sistemik kerana dipercayai sudah berlarutan selama puluhan tahun serta membabitkan unsur persekongkolan dengan kalangan tertentu, termasuk menjejaskan kawalan sempadan dan agensi seperti kastam.
Justeru, semua agensi penguatkuasaan diarahkan agar tidak memandang isu berkenaan sebagai kes terpencil, sebaliknya perlu mengemukakan laporan daripada setiap jabatan masing-masing membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pertahanan, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta kastam.
“Kita bagi amaran, kita tangkap. Tapi nampaknya ini yang saya sebut dalam dialog bahawa ini sistemik.
“Benda ni berlaku dah puluhan tahun dan diizinkan kadang-kadang bersekongkol dengan kalangan tertentu,” ujarnya.
Anwar mengakui pendirian tegas itu mungkin mengundang rasa tidak puas hati sebahagian pihak, namun menegaskan bahawa beliau tidak akan bertolak ansur selagi memikul tugas dan amanah terbabit.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan kini adalah antara yang terbanyak berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun usaha membanteras kegiatan itu masih perlu diperhebatkan memandangkan ia terus berlaku.
Tambahnya, laporan daripada menteri-menteri berkaitan turut dibentangkan dan Jemaah Menteri secara sebulat suara menyatakan ketetapan untuk menyokong penuh usaha membanteras isu berkenaan.
Anwar turut menyentuh mengenai kebimbangan terhadap isu di sempadan serta menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan awal Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang mengambil tindakan tegas di seluruh negara terhadap kumpulan kongsi gelap sejak beberapa bulan lalu.
Terdahulu media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membentangkan laporan penuh kepada Jemaah Menteri pada hari ini, berhubung kes penyeludupan dadah berkait pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pembentangan itu bagi membolehkan kerajaan meneliti secara menyeluruh implikasi insiden berkenaan, khususnya membabitkan tahap keselamatan aset dan lokasi strategik negara.
Kegiatan penyeludupan dibongkar menerusi siasatan dan risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengesan kira-kira tiga tan dadah disyaki methamphetamine bernilai RM156 juta masuk melalui 21 transaksi di aset TUDM di Labuan dan Tawau, Sabah sejak Ogos 2024, selain rampasan 96.64 kg methamphetamine bernilai RM4.83 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd