Shah Alam: Sebanyak 16 pasukan mewakili daerah dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal bersaing merebut gelaran juara Piala F&N Magnolia Bawah 11 Tahun (B-11) yang berlangsung dari 30 November hingga 2 Disember ini.
Baca juga: Ubai enggan kecewa lagi
Kejohanan yang memasuki edisi kedua selepas penganjuran sulung tahun lalu itu dijangka lebih kompetitif apabila menghimpunkan pemain terbaik dari setiap daerah, berbanding edisi terdahulu yang membabitkan pasukan sekolah juara daerah.
Sebanyak 16 pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan dengan dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke suku akhir dalam usaha meneruskan saingan memburu kejuaraan.
Kejohanan itu mendapat sokongan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan F&N Magnolia bertindak sebagai penaja utama.
Pengarah Penglibatan Kerajaan dan Industri Fraser & Neave Holdings Bhd, Norazrin Norsyam Yee, berkata pihaknya berbesar hati meneruskan kerjasama dengan BSKK bagi tahun kedua berturut-turut selepas penganjuran sulung mendapat sambutan menggalakkan.
“F&N Magnolia amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan BSKK bagi tahun kedua berturut-turut. Kejayaan penganjuran edisi pertama membuktikan keperluan terhadap kejohanan seumpama ini untuk pemain muda dan mendorong kami untuk meneruskannya,” katanya.
Menurut Norazrin, kejohanan itu bukan sekadar menyediakan platform pertandingan kepada pemain muda untuk menguji kemampuan, malah turut menyokong usaha membudayakan pemakanan berkhasiat dalam kalangan generasi muda.
Bagi edisi tahun ini, BSKK melantik Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) sebagai penganjur, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru, Kuala Selangor dipilih sebagai tuan rumah.
Pada majlis pengumuman kejohanan hari ini, Norazrin turut menyampaikan komitmen tajaan kepada Ketua Penolong Pengarah JPNS, Norfadzilah Rosdi.
Majlis berkenaan disaksikan Mohd Zaki Ghazali dari Unit Sukan 2, Sektor Perancangan Sukan, BSKK, KPM.
Turut hadir ialah Noor Hisyam Mohd Jaini, Roslan Ab Latiff, Norazaludin Azmil Razali, Mohd Syamin Ismail Mohd Sabari, Mohd Naim A Rahim dan Wan Samsuri Wan Hasan, yang semuanya Penolong Pengarah JPNS.
© New Straits Times Press (M) Bhd