am@hmetro.com.my
Baca juga: Lagu Perasaanku memang bawa tuah dalam hidup saya – Fieya Julia
Kuala Lumpur: Dua pesara tentera mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan penipuan dan pemalsuan dokumen berkaitan tender palsu Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang membabitkan kerugian berjumlah RM1.28 juta.
Mejar (B) Rosle Mat Isa, 54, dan bekas pegawai waran, Mohd Syazwan Steve Abdullah, 45, didakwa secara bersama menipu tiga ahli perniagaan antara April dan Ogos 2019, berhubung tender kerajaan palsu membabitkan kerja mengecat kenderaan perisai tentera serta pembekalan peralatan.
Di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad, kedua-dua tertuduh didakwa memperdaya Pak Chee Hwa, 59, pada Ogos 2019, dengan menawarkan kontrak kerajaan bernilai RM400,000 sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM200,000 kepada Mohd Syazwan sebagai modal.
Di hadapan Hakim Rosli Ahmad pula, pasangan itu didakwa memperdaya Bahari Tahir, 78, untuk mempercayai bahawa mereka mampu mendapatkan empat kontrak MINDEF membabitkan kerja mengecat kenderaan perisai dan pembekalan peralatan bagi Dewan Dato Jamil serta khemah.
Tindakan itu didakwa mendorong Bahari menyerahkan wang berjumlah RM780,000 antara 21 Ogos hingga 22 Ogos 2019.
Sementara itu di hadapan Hakim Azrul Darus, mereka didakwa menipu ahli perniagaan Borhan Mohd Doya, 55, dengan memperdayakannya untuk mempercayai wujudnya kontrak bernilai RM565,050 bagi membekalkan peralatan serta menjalankan kerja-kerja persiapan untuk satu acara di Kem Perdana Sungai Besi.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada April 2019 apabila Borhan didorong menyerahkan wang sebanyak RM300,000 menerusi dua transaksi kepada Rosle.
Kedua-dua tertuduh turut berdepan tiga pertuduhan bersama memalsukan pesanan kerajaan bagi projek-projek berkenaan dengan niat untuk menipu ahli perniagaan terbabit.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kuartermaster, Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini.
Pertuduhan menipu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan pemalsuan dokumen pula dibawa mengikut Seksyen 468 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman, Batrisyia Mohd Khusri dan Izzat Amir Idham memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM60,000 bagi setiap pertuduhan terhadap setiap tertuduh dengan mengambil kira jumlah kerugian serta bagi memastikan kedua-duanya tidak melarikan diri.
Rosle yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan atas alasan beliau menanggung isteri yang menghidap kanser serta enam anak, termasuk dua anak autisme menggunakan pencen bulanannya.
Beliau memaklumkan tidak mampu melantik peguam dan memohon tempoh lebih panjang untuk mengumpul wang jaminan, sambil menambah bahawa kedua-dua mereka memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dan tidak berisiko melarikan diri.
Peguam Lee Soo Bang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Mohd Syazwan turut memohon jaminan minimum memandangkan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan sebagai peniaga serta menyara keluarga dan ibunya yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan semula kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd