puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Ernie Zakri menerima pengiktirafan Ikon Muzik Asia Tenggara 2026 pada Top Asia Corporate Ball 2026, yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, semalam.
Baca juga: Kenapa siasat saya, minit mesyuarat Lembaga Pengampunan telah dinyahklasifikasikan – Tony Pua
Pengiktirafan itu menjadi kemuncak kepada rentetan pencapaian beliau dalam tempoh 10 hari, termasuk persembahan bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron dan anugerah Selebriti Usahawan Terbaik SEBA ASEAN 2025/2026 pada 17 November lalu.
Anugerah berkenaan bukan sahaja mengiktiraf bakat vokal, kemampuan persembahan dan sumbangan Ernie dalam industri muzik, malah turut menandakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan seorang anak seni Malaysia yang karyanya terus mendapat perhatian di peringkat serantau.
Top Asia Corporate Ball yang meraikan ulang tahun ke-11 penganjurannya pada tahun ini dianjurkan RHA Media, penerbit Top 10 of Asia dan Top 10 of Malaysia, menghimpunkan tokoh korporat, pemimpin perniagaan serta personaliti dari pelbagai industri di Asia.
Ernie kini menyertai barisan personaliti seni terkenal yang pernah diraikan di platform ini, termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Datuk Sri Rossa, Afgan, Ruth Sahanaya dan Alan Tam.
Pada 17 November lalu, Ernie menyampaikan lagu klasik Perancis La Vie en rose bersama Macron dalam majlis jamuan rasmi yang dihoskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasmi Presiden Perancis ke Malaysia.
Persembahan berkenaan membawa suara dan seni Malaysia ke sebuah acara diplomatik berprofil tinggi, serta memperlihatkan bagaimana muzik boleh merapatkan hubungan budaya antara negara.
Pada hari yang sama, Ernie turut menerima anugerah Selebriti Usahawan Terbaik SEBA ASEAN 2025/2026 yang memperluaskan pencapaiannya di luar muzik, dengan menyorot perkembangan dan pengaruhnya sebagai figura industri seni tempatan.
“Satu amanah besar untuk terus membawa seni Malaysia. November ini menjadi antara bulan yang paling bermakna dalam hidup dan kerjaya saya. Dalam tempoh yang singkat, saya diberi peluang membuat persembahan bersama Presiden Perancis, menerima pengiktirafan di SEBA Awards dan kini menerima anugerah Ikon Muzik Asia Tenggara 2026.
“Saya masih cuba menghadam setiap pengalaman ini. Saya anggap semuanya sebagai rezeki dan amanah besar bukan sekadar tentang anugerah, tetapi peluang untuk terus berkembang sebagai anak seni Malaysia,” kata Ernie dalam satu kenyataan media.
Menurut Ernie, pengiktirafan ini turut menjadi dorongan untuk terus menghasilkan karya dan persembahan berkualiti, serta memperkenalkan muzik tempatan kepada khalayak lebih luas selain menganggap sokongan keluarga, pasukan pengurusan, rakan industri dan peminat menjadi sebahagian penting dalam perjalanan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd