KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google tidak akan menjejaskan pelaburan syarikat teknologi gergasi itu di Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baca juga: Industri negara tidak boleh bergantung kepada pengeluaran rendah semata-mata – Johari
Anwar berkata, beliau telah menghubungi Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Google, Ruth Porat, semalam yang memberi jaminan mengenai kerjasama syarikat itu dalam menangani isu yang dibangkitkan.
“Antara yang kita laporkan kepada Google ialah kes perjudian dalam talian, tetapi selepas enam bulan, tiada tindakan diambil.
“Bagaimanapun, saya sudah membangkitkan perkara ini dengan Google dan saya percaya syarikat itu sedang meneliti perkara berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya.
“Ini tidak akan menjejaskan (pelaburan),” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Ampang di sini, hari ini.
Rabu lalu, MCMC mengumumkan pihaknya memfailkan dua saman terhadap Google LLC, menuntut jumlah ganti rugi RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu menangani kandungan berbahaya di YouTube.
Berita lanjut menyusul
© New Straits Times Press (M) Bhd