LATEST
National

Faizal bakar semangat Speedy Tigers

Faizal bakar semangat Speedy Tigers

KUALA LUMPUR: Tiada apa yang mahu disimpan lagi apabila Faizal Saari berjanji memberikan sepenuh jiwa dan raganya demi membantu Speedy Tigers mencipta kejutan menewaskan Australia pada final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026, esok.

Baca juga: 3 pegawai TUDM tiba di mahkamah

Walaupun berdepan cabaran pasukan ranking ketiga dunia, penyerang berpengalaman negara itu percaya kelebihan beraksi di laman sendiri mampu menjadi pembakar semangat buat skuad kebangsaan memburu kejayaan bersejarah.

“Australia di ranking ketiga dunia tetapi kita bermain di laman sendiri. Apa sahaja boleh berlaku dan kami akan berikan sepenuh jiwa dalam aksi final nanti,” katanya.

Keyakinan Faizal hadir selepas Speedy Tigers melangkah ke final menerusi aksi penuh dramatik apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum mengikat Pakistan 5-5.

Pemain berkenaan turut menjadi watak penting dalam kebangkitan itu apabila meledak hatrik, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 11 gol.

Bagaimanapun, Faizal tidak mahu kejayaan itu dilihat sebagai hasil usaha individu, sebaliknya menyifatkan semangat juang dan sokongan rakan sepasukan menjadi faktor utama kejayaan mereka.

“Semua pemain berjuang dari wisel mula hingga minit ke-60. Jadi saya sangat berpuas hati dengan prestasi kami walaupun keputusan berakhir 5-5, tetapi kami berjaya layak ke final,” katanya.

Untuk rekod, Speedy Tigers sudah enam kali melangkah ke pentas final Piala Sultan Azlan Shah sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1983, namun hanya sekali berjaya menjulang trofi berkenaan iaitu pada edisi 2022 selepas menewaskan Korea Selatan 3-2, manakala lima penampilan lain berakhir sebagai naib juara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news