PARIS: Bournemouth bangkit untuk mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan dalam Liga Europa selepas menewaskan Celta Vigo 2-1 awal pagi tadi, manakala AC Milan bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menundukkan Olympiakos.
Baca juga: KKM siasat isu tikus makan tauge di Pasar Pudu
Pusingan kelima perlawanan dicemari insiden pertembungan antara polis Georgia dan penyokong Besiktas yang menyebabkan aksi kelab Turkiye itu menentang pasukan Israel, Hapoel Beer-Sheva, di Batumi dihentikan sementara.
Bournemouth kendalian Marco Rose mencatat kemenangan ke-10 berturut-turut dalam semua pertandingan walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain dan ketinggalan satu gol di Sepanyol.
Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, yang membuat penampilan sulung di pentas Eropah, kini mendahului carta 36 pasukan dengan kelebihan dua mata berbanding Juventus di tempat kedua. Juventus menewaskan wakil Cyprus, Omonia, 4-1 di Turin.
“Pasukan saya bermain dengan kekurangan seorang pemain dan ketinggalan 0-1, tetapi masih menunjukkan tenaga serta semangat seperti ini. Ia sesuatu yang luar biasa dan menakjubkan.
“Kadangkala saya merasakan pasukan ini tidak memerlukan jurulatih pun,” kata Rose.
Bournemouth berpeluang mengesahkan kedudukan lapan terbaik dan tiket ke pusingan 16 terakhir apabila menjadi tuan rumah kepada Viktoria Plzen dalam tempoh dua minggu.
Plzen mencatat kemenangan 4-0 ke atas Benfica semalam.
Celta membuka jaringan pada minit ke-19 apabila Bournemouth memberikan ruang dan masa kepada pemain berusia 39 tahun, Iago Aspas, untuk meledak gol pertamanya sejak Ogos.
Pelawat menerima satu lagi tamparan hanya tiga minit kemudian apabila Bafode Diakite dilayangkan kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) susulan terjahan terhadap Couhaib Driouech.
Bagaimanapun, Bournemouth menyamakan kedudukan dua minit selepas babak kedua bermula menerusi tandukan Alvaro Rodriguez yang menyudahkan hantaran Amine Adli.
Bournemouth melengkapkan kebangkitan menakjubkan itu ketika perlawanan berbaki 12 minit apabila Rayan menyempurnakan hantaran Marcus Tavernier untuk menamatkan serangan balas pantas.
Sementara itu, Milan kendalian Ruben Amorim yang tewas dalam tiga daripada empat perlawanan pertama, menghidupkan peluang mengelak penyingkiran awal yang memalukan selepas menewaskan Olympiakos 4-2.
Milan berdepan satu lagi tamparan hebat dalam usaha mara ke pusingan kalah mati apabila ketinggalan susulan gol sendiri penjaga gol Mike Maignan dan jaringan Joao Silva pada minit ke-49.
Namun, jaringan solo menakjubkan Omari Hutchinson memberikan peluang kepada Milan untuk bangkit sebelum bekas pemain sayap Ipswich itu membantu Alphadjo Cisse menyamakan kedudukan pada minit ke-63.
Hutchinson sekali lagi mencipta bantuan jaringan apabila melakukan hantaran lintang untuk disudahkan Christian Pulisic menerusi voli, 19 minit sebelum tamat perlawanan.
Diego Moreira kemudian melengkapkan kemenangan dengan gol keempat pada masa kecederaan sekali gus menghidupkan semula kempen juara Eropah tujuh kali itu.
“Kami masih mempunyai banyak kerja untuk dilakukan bagi menjadi pasukan yang sangat kuat, tetapi semangat itu sudah ada. Ini permulaan kepada sesuatu,” kata Amorim selepas pasukannya melonjak ke kedudukan yang melayakkan mereka ke pusingan playoff kalah mati.
© New Straits Times Press (M) Bhd