audreymd@nst.com.my
Baca juga: Takaful Malaysia catat untung bersih suku ketiga lebih besar RM127.88 juta
Georgetown: Kampung Makam di sini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat petang tadi, manakala kawasan berhampiran Kampung Dodol turut dilaporkan terjejas.
Hujan lebat yang bermula lewat petang itu menyebabkan paras air meningkat dengan pantas sebelum melimpah ke kawasan rendah.
Seorang penduduk berkongsi situasi banjir di Kampung Makam menerusi siaran langsung di TikTok.
Menerusi siaran itu, paras air di kawasan halaman rumah dilihat meningkat sehingga ke paras betis orang dewasa.
Penduduk berkenaan berkata, terdapat kira-kira 20 rumah di Kampung Makam dan dia juga sedang memindahkan keretanya ke kawasan lebih tinggi.
“Tidak hujan lama pun, tetapi kawasan sekitar kami sudah dinaiki air. Keadaan ini mungkin diburukkan lagi oleh fenomena air pasang besar,” katanya.
Di ruangan komen, seorang penduduk Kampung Dodol yang terletak berhampiran turut melaporkan keadaan sama berlaku di kawasan itu.
Hujan dilaporkan di beberapa kawasan di bahagian tanah besar Pulau Pinang.
Bagaimanapun setakat ini, tiada pemindahan penduduk dilaporkan, manakala pihak berkuasa tempatan dan anggota kecemasan sedang memantau keadaan.
Penduduk Pulau Pinang dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada berikutan jangkaan kejadian ribut petir dan air pasang besar yang dijangka melanda negeri itu sehingga esok.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, berkata penduduk perlu sentiasa berwaspada sepanjang Monsun Timur Laut yang sedang melanda negara, khususnya mereka yang tinggal di kawasan rendah dan pesisir pantai.
© New Straits Times Press (M) Bhd