LATEST

Ismail Lasim mungkin kekal MB Negeri Sembilan

Ismail Lasim mungkin kekal MB Negeri Sembilan

am@hmetro.com.my

Baca juga: Enam hari untuk pulih grid elektrik ke pantai timur Sabah

Seremban: Datuk Ismail Lasim berkemungkinan besar kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sumber memberitahu kedudukan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh tidak terjejas meskipun sebelum ini beliau dilapor menawarkan peletakan jawatan bagi menamatkan krisis politik dan pentadbiran negeri yang berlanjutan hampir empat bulan.

“Ya, saya di maklumkan Datuk Mail (Ismail) kekal sebagai Menteri Besar,” kata sumber itu malam ini.

Petang tadi, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima menghadap Ismail di Istana Hinggap di sini.

Selepas itu, Tuanku Muhriz menerima menghadap pemimpin kanan UMNO diketuai Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid ketika ditemui sejurus selesai sesi berkenan menjelaskan Tuanku Muhriz akan membuat keputusan berhubung krisis pentadbiran Negeri Sembilan dan pihaknya menyerahkan kepada pihak istana untuk mengeluarkan kenyataan.

“Tuanku akan membuat keputusan dan kita serahkan kepada pihak istana yang akan mengeluarkan kenyataan keputusan yang telah kami capai,” katanya.

Setakat ini, tiada lagi sebarang kenyataan rasmi daripada pihak istana berhubung kedudukan Menteri Besar.

Sementara itu, beberapa ADUN dijadual akan mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) baharu di Istana Seri Menanti Kuala Pilah, esok.

Difahamkan seramai tujuh ADUN bakal dilantik sebagai EXCO.

Pentadbiran Ismail beroperasi tanpa EXCO sejak Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 EXCO pada 20 September lalu, atas tindakan mereka yang menegaskan tindakan menyingkirkan baginda pada April lalu adalah sah dan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar adalah pemerintah baharu negeri itu.

Pihak istana berpandangan tindakan mereka bercanggah dengan sumpah taat setia kepada pemerintah dan institusi diraja.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news