asyikin.mat@hmetro.com.my
Baca juga: PMCK, Chin Hin bekerjasama bangun hospital swasta di Kedah dan Melaka
Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan serius dan proaktif melalui penyelarasan operasi penguatkuasaan bersepadu bersama agensi berkaitan, berhubung kejadian tikus berkeliaran makan tauge di sebuah premis di Pasar Pudu, baru-baru ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan, KKM memaklumkan agensi terbabit termasuklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
KKM berkata, operasi memberi tumpuan kepada pematuhan kebersihan premis, amalan pengendalian makanan, penyimpanan bahan mentah, risiko pencemaran silang serta keberkesanan kawalan makhluk perosak.
Katanya, sebarang ketidakpatuhan yang dikenal pasti akan diambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
Menurut kenyataan itu, selain tindakan penguatkuasaan, KKM mempergiat pemantauan dan tindakan susulan berterusan bagi memastikan langkah pembetulan dilaksanakan dengan berkesan serta mengelakkan kejadian berulang.
“KKM juga akan memperkukuh penyelarasan bersama DBKL bagi memastikan aspek kebersihan persekitaran pasar, pengurusan sisa dan kawalan populasi tikus diberi perhatian menyeluruh.
“Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL) sudah menjalankan tinjauan awal di lokasi berkenaan serta mendapati isu dibangkitkan adalah berasas.
“Justeru, peniaga hendaklah memastikan premis mereka bebas daripada haiwan perosak di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” menurut kenyataan yang memaklumkan kompaun boleh dikenakan bagi kesalahan berkenaan.
KKM menegaskan, jika keadaan premis boleh membahayakan kesihatan, ia boleh diarahkan tutup serta-merta sehingga 14 hari di bawah Akta Makanan 1983, manakala setiap peniaga wajib memastikan premis sentiasa bersih dan bebas daripada haiwan perosak, menyimpan makanan dalam bekas bertutup, menguruskan sampah dengan baik serta melaksanakan kawalan tikus secara berkala.
“Sebarang makanan yang terdedah kepada tikus atau disyaki tercemar hendaklah dibuang dan tidak dijual atau digunakan untuk penyediaan makanan.
“KKM juga menasihatkan pengguna supaya memilih makanan bersih, disimpan dalam bekas bertutup dan terlindung daripada haiwan perosak,” katanya.
Menurut kenyataan itu, bahan mentah hendaklah dibasuh dengan air bersih yang mengalir dan dimasak dengan sempurna sebelum dimakan, malah pengguna disarankan memilih makanan yang disimpan dalam bekas bertutup, terlindung daripada haiwan perosak dan tidak terdedah kepada persekitaran kotor.
Katanya, aduan boleh dibuat melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di moh.spab.gov.my. atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.
Minggu lalu, tular video yang dikongsi pengguna media sosial, memaparkan tikus berkeliaran dan dilihat makan tauge di sebuah premis di Pasar Pudu.
Menerusi rakaman itu juga, beberapa tikus didakwa dilihat berada di atas tong berisi tauge dan memakannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd