LATEST

Jadi lebih baik jika mahu cabar Australia – Carolan

Jadi lebih baik jika mahu cabar Australia – Carolan

Ipoh: Ketua jurulatih Malaysia Brendon Carolan mahu anak buahnya meningkatkan prestasi serta membaiki penguasaan bola sekiranya mereka ingin memberikan saingan kepada Australia dalam perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah, Sabtu ini.

Baca juga: Abdul Gani Patail, bekas Peguam Negara meninggal dunia

Malaysia mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Pakistan dengan keputusan seri 5-5 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Sultan Azlan Shah di sini, malam ini.

Carolan berkata, Australia akan memberikan tentangan sengit terutamanya menerusi keupayaan serangan balas mereka yang mantap, dan Malaysia tidak boleh mengulangi kesilapan yang dilakukan ketika bertemu Pakistan.

“Kami perlu mempertingkatkan lagi corak permainan kami. Australia sangat hebat dalam apa yang mereka lakukan, jadi kami perlu lebih baik dalam mengawal bola.

“Jika kami kerap kehilangan bola seperti yang berlaku hari ini, kami pasti akan menanggung akibatnya,” katanya selepas perlawanan.

Beliau turut mengakui peningkatan Australia di bawah jurulatih baharu mereka, sambil menyifatkan kemajuan yang dicapai pasukan itu dalam tempoh singkat sebagai sesuatu yang mengagumkan.

Tambah Carolan, dalam perlawanan malam ini, skuad negara membenarkan terlalu banyak pukulan sudut penalti mudah diperoleh lawan iaitu satu kesilapan yang membawa akibat buruk pada detik-detik penting perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih Pakistan Herman Kruis mengakui pasukannya telah membiarkan kemenangan terlepas setelah mensia-siakan kelebihan 4-2, yang akhirnya menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Beliau berkata, Pakistan hilang kawalan terhadap perlawanan akibat kesilapan sendiri sekali gus membolehkan Malaysia memanfaatkan peluang yang terhidang.

“Tahniah kepada Malaysia kerana berjaya mara ke perlawanan akhir. Namun, sejujurnya, kami sendiri penyebab kekalahan perlawanan ini,” katanya

“Apabila mendahului 4-2, anda perlu memastikan kemenangan itu menjadi milik anda. Kami hilang kawalan perlawanan akibat kesilapan sendiri, dan Malaysia bijak memanfaatkan situasi tersebut,” katanya.

Kruis berkata, para pemainnya sepatutnya mempamerkan pengurusan permainan yang lebih baik, terutamanya selepas mendahului 5-4 dengan hanya baki tiga minit perlawanan.

“Anda perlu menggunakan akal dan bermain hoki secara mudah, bukannya mencuba hantaran-hantaran yang sukar. Saya rasa itulah kesilapan yang kami lakukan,” ujarnya.

Pakistan kini akan mengalihkan tumpuan pada perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Korea Selatan pada Sabtu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news