sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Farhan gesa pemain muda guna peluang di Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026
Ipoh: Skuad hoki negara, Speedy Tigers akhirnya mengesahkan kemaraan ke final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-32 apabila terikat 5-5 kepada Pakistan pada aksi kelima di Stadium Hoki Azlan Shah, di sini, malam ini.
Keputusan itu menyaksikan anak buah Ketua Jurulatih, Brendon Carolan menamatkan saingan selepas perlawanan kelima di kedudukan kedua mengumpul 10 mata dibezakan melalui perbezaan jaringan dengan Pakistan, sekali gus bakal bertemu Australia dalam aksi final Sabtu ini.
Malaysia memulakan aksi dengan garang apabila membuka tirai jaringan menerusi Azrai Aizad Abu Kamal seawal minit ketiga selepas berjaya menembusi kubu skuad kendalian Kruis Herman.
Pakistan menyamakan kedudukan menerusi jaringan Ahmad Nadeem pada minit ke-13.
Mereka sekali lagi menambah jaringan juga menerusi Ahmad pada minit ke-15, menjadikan suku pertama berakhir Pakistan mendahului 2-1.
Memasuki suku kedua, Speedy Tigers dilihat makin garang apabila berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan kapten pasukan, Marhan Jalil pada minit ke-20 menerusi pukulan sudut penalti.
Memasuki suku ketiga permainan, Pakistan kembali mendahului 3-2 menerusi gol dijaringkan Muhammad Ahmad pada minit ke-32.
Pada suku terakhir, Pakistan sekali lagi menambah jaringan melalui Hannan Shahid pada minit ke-48.
Tidak lama kemudian pemain senior, Faizal Saari merapatkan jurang kepada 3-4 pada minit-50, sebelum dia menambah gol keempat seminit kemudian untuk menjadikan kedudukan kembali terikat.
Pakistan mendahului pada minit 57 melalui gol kelima yang dijaringkan Sufyan Khan, namun Speedy Tigers akhirnya berjaya mengikat kedudukan seri 5-5 melalui penalti stroke juga hasil jaringan Faizal seminit kemudian.
Kedudukan terikat 5-5 sehingga wisel penamat dibunyikan.
Malaysia akan beraksi di peringkat final menentang Australia pada 7.30 malam Sabtu ini dalam misi mengulangi kejayaan 2022.
© New Straits Times Press (M) Bhd