sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Polis buka kertas siasatan! 55 laporan terhadap Tony Pua, dua babit MP Kota Melaka -KPN
Kuala Terengganu: Berbekalkan semangat juang tinggi dan impian besar, Sekolah Kebangsaan Kuala Kubang (SKuBEST), Besut membuktikan sekolah kecil mampu mencipta kejutan apabila menggegarkan pentas bola sepak akar umbi negeri.
Menerusi pasukan SKuBEST atau Anak TEBUan FC, kekurangan kemudahan serba lengkap bukan penghalang untuk terus mencipta nama sejak dibangunkan secara serius pada pertengahan 2023, selari slogan ‘Sekolah Kecil, Berjiwa Besar’.
Perjalanan mereka bermula dengan meraih tempat ketiga kejohanan Bawah 10 Tahun (B-10) peringkat daerah pada 2023 sebelum mara ke suku akhir B-12 dan menduduki tempat ketiga B-11 daerah pada 2024.
Momentum diteruskan pada 2025 apabila skuad B-12 mara ke separuh akhir daerah, manakala pasukan B-11 muncul juara Grassroots Zon Jabi.
Tahun 2026 menjadi detik paling manis buat Anak TEBUan FC apabila skuad B-12 muncul juara peringkat zon dan daerah, selain turut merangkul kejuaraan Besut Junior League bagi kategori sama.
Lebih membanggakan, kejayaan itu menyaksikan tiga pemain pasukan berkenaan terpilih mewakili daerah Besut ke peringkat Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST).
Mereka turut diberi kepercayaan memperkuatkan Besut dalam kategori B-11 Champions School sebelum muncul juara peringkat negeri.
Jelas, pengurusan dan kejurulatihan menjadi antara tunjang utama perkembangan pasukan berkenaan yang diterajui pengurus, Mohd Zaidi Ramli bersama jurulatih, Hasrolaffendi Johari, Ahmad Hasif Mohamad dan Muhammad Irsyad Fitri.
Hasrolaffendi berkata, kejayaan diraih bukan sekadar berlandaskan kutipan piala dan pingat, sebaliknya lebih penting dalam membentuk disiplin, keyakinan diri serta semangat berpasukan dalam kalangan pemain muda.
© New Straits Times Press (M) Bhd