LATEST

Isu tanah KLSCAH: Rakaman percakapan pegawai Hannah berlangsung lima jam

Isu tanah KLSCAH: Rakaman percakapan pegawai Hannah berlangsung lima jam

safeek@bh.com.my

Baca juga: Lebih 70 peratus pengguna anggap servis BNPL satu-satunya pilihan kredit

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam percakapan pegawai kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh di ibu pejabat di Putrajaya, selama kira-kira lima jam.

Ia bagi membantu siasatan berhubung kontroversi lanjutan tempoh pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pegawai terbabit dipanggil pada 10 pagi tadi bagi tujuan melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Pada masa yang sama, SPRM juga akan memulakan siasatan berhubung isu tatakelola sekiranya ada.

“Sehubungan itu, SPRM menyeru semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan ini selain memberi ruang agar siasatan ini berjalan lancar memandangkan ia masih di peringkat awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan akan melaksanakan siasatan dengan bebas, adil, serta berlandaskan undang-undang.

Terdahulu, Hannah mengesahkan pembantunya dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berkaitan isu KLSCAH.

Pada 14 November lalu, beliau mengumumkan kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan selama 99 tahun dengan premium nominal RM1,000, jauh lebih rendah berbanding anggaran awal bernilai hampir RM4.67 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news