asyikin.mat@hmetro.com.my
Baca juga: MB baharu atau kekal? Zahid serah pengumuman kepada istana
Kuala Lumpur: Malaysia perlu mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan Myanmar bagi menyelesaikan isu membabitkan kira-kira 200,000 rakyat negara itu yang berada di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan diplomatik dengan Myanmar penting bagi membolehkan Malaysia menyelesaikan sebahagian besar masalah yang dihadapi, termasuk urusan membawa pulang rakyatnya ke negara asal.
Beliau berkata, setakat ini, kira-kira 10,400 rakyat Myanmar sudah dihantar pulang menerusi rundingan baik antara Malaysia dan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing.
“Sementara itu, ribuan lagi sedang diatur untuk dibawa pulang menggunakan kapal perang negara berkenaan yang berada di Lumut, Perak.
“Malaysia turut mengadakan rundingan dengan Presiden Myanmar bagi mendapatkan jaminan keselamatan terhadap rakyat negara itu yang dihantar pulang, kecuali mereka yang terbabit dalam kes jenayah.
“Jadi, apabila ada jaminan itu, bolehkah kita pantau dari jauh?” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030, di sini hari ini.
Anwar berkata, Malaysia mengambil kira kepentingan keselamatan negara dan rakyat dalam setiap keputusan berkaitan hubungan diplomatik dengan negara luar.
Katanya, isu berkenaan tidak boleh diselesaikan sepenuhnya oleh badan antarabangsa atau negara asing, sebaliknya Malaysia perlu mencari jalan penyelesaian sendiri selepas puluhan tahun berdepan masalah itu.
“Bila rakan-rakan kita dalam jemaah menteri berbincang dan bertanya, apakah wajar kita ada hubungan baik dengan Kerajaan Myanmar? Jawabnya ya. Untuk apa? Untuk selesaikan sebahagian besar masalah yang kita hadapi, (rakyat Myanmar),” katanya.
Beliau berkata, sekiranya mereka tidak dihantar pulang, kerajaan perlu menanggung perbelanjaan yang tinggi selain berdepan peningkatan kemarahan rakyat.
“Keadaan itu turut menimbulkan isu keselamatan kerana sebahagian pelarian berkenaan tidak mempunyai pekerjaan sehingga boleh menyumbang kepada peningkatan isu jenayah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd