asyikin.mat@hmetro.com.my
Baca juga: KLSCAH: Pegawai menteri dipanggil lengkapkan siasatan di bawah Sesyen 23 Akta SPRM
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) tunduk kepada ancaman Gabungan Parti Sarawak (GPS) susulan keputusan parti itu untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 pada 12 Disember ini.
Presiden PKR yang juga Perdana Menteri itu berkata, keputusan berkenaan dibuat sebagai sebahagian daripada usaha menjalin kerjasama dengan GPS.
“Ia kerjasama dan bukan tunduk,” katanya ringkas ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030 di sini hari ini.
Chieng Jen sebelum ini dilaporkan mendakwa keputusan PKR tidak bertanding pada PRN Sarawak adalah disebabkan tindakan Anwar tunduk kepada tekanan GPS bagi memastikan sokongan berterusan gabungan itu terhadap kerajaan Persekutuan.
Kataya, sokongan GPS diperlukan bagi memastikan Anwar kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal, terutamanya jika Barisan Nasional (BN) menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
Ahad lalu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Openg, mempersoalkan kewajaran parti yang meraih manfaat susulan sokongan gabungan itu dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan untuk mencabar pakatan berkenaan pada PRN Sarawak ke-13.
Beliau dipetik berkata, kerajaan Persekutuan mungkin tidak dapat dibentuk tanpa sokongan GPS, biarpun demokrasi membenarkan parti berkenaan bertanding pada PRN Sarawak.
DAP ketika ini adalah satu-satunya parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding pada PRN Sarawak selepas PKR dan AMANAH memutuskan untuk tidak menyertainya. Ia bertanding 12 kerusi.
BN, Perikatan Nasional (PN) dan BERSATU turut mengambil keputusan tidak bertanding.
Sementara itu, GPS yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) akan bertanding semua 82 kerusi dan sudah pun mengumumkan senarai calonnya semalam.
Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pula meletakkan 26 calon manakala Parti Bumi Kenyalang (PBK) pertaruh dua calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13, dengan hari penamaan calon Sabtu ini, manakala pengundian awal pada 8 Disember.
© New Straits Times Press (M) Bhd