puterialia@hmetro.com.my
Baca juga: Al-Quran dibuang di Ulu Tiram disyaki perbuatan kontraktor pelupusan
Kuala Lumpur : Pelakon, Faezah Elai menyelar segelintir netizen yang mempertikaikan tindakannya memuat naik hantaran mengenai anak tirinya di media sosial, sambil menegaskan dia tidak memerlukan pengesahan daripada mana-mana pihak untuk berbuat demikian.
Menerusi hantarannya di media sosial, Faezah atau nama sebenarnya Noor Faezah Md. Elai, 44, berkata tidak semua anak daripada pasangan yang bercerai dijaga oleh ibu kandung, sebaliknya ada juga yang dibesarkan oleh bapa serta ibu tiri sepertinya.
Menurut Faezah, tanggapan negatif bahawa semua ibu tiri bersikap jahat adalah tidak tepat, memandangkan ibu kandung kepada ketiga-tiga anak tirinya itu sendiri memberi kepercayaan kepadanya untuk menjaga mereka.
“Dengar sini, bukan semua orang yang bercerai, mak mereka yang jaga. Ada juga bapa mereka yang ambil mereka untuk jaga, yang besarkan mereka, mak tiri seperti saya.
“Bukan semua mak tiri ini jahat, kalau mak tiri ini jahat tak adalah mak mereka bagi saya jaga anak mereka tiga-tiga orang tu. Faham? Saya yang jaga mereka, makan, pakai, sekolah.
“Jadi saya tak perlukan siapa-siapa punya pengesahan untuk saya muat naik hantaran tentang anak-anak tiri saya,” katanya dalam sebuah video.
Tambah Faezah, dia meminta orang ramai agar tidak mencampuri urusan keluarganya, lebih-lebih lagi apabila anak-anaknya sendiri tidak pernah melabelkan diri mereka sebagai anak tiri.
“Mak mereka pun tak kata apa-apa, tak pernah terasa hati sebab mereka tahu saya yang jaga. Jadi, anda semua tak perlulah kalut (kecoh).
“Mereka sendiri pun tak pernah sebut mereka anak tiri. Jadi, anda semua pula kena beritahu, kenapa nak tulis ‘anak perempuan saya’? Memang dia anak perempuan saya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Faezah turut menyindir pihak yang gemar mengkritik tanpa usul periksa agar berfikir terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan supaya tidak kelihatan kurang cerdik.
“Jadi, kalau bercakap tu, pastikan otak sampai dulu baru mulut keluar cakap sebab kalau mulut pergi dulu nampak sangat tak berapa nak cerdik,” ujarnya.
Terdahulu, Faezah berkongsi berita gembira mengenai anak perempuannya yang dibesarkan sejak berusia 11 tahun kini bergelar peguam menerusi hantarannya di Instagram.
© New Straits Times Press (M) Bhd