KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM1.497 juta bagi memperkasa kemudahan 11 institusi pendidikan Islam dan tahfiz di Terengganu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan melibatkan institusi di enam kawasan Parlimen itu adalah bagi melaksanakan kerja pembaikan infrastruktur dan meningkatkan kualiti kemudahan, sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran lebih selesa, selamat dan kondusif kepada pelajar.
Baca juga: Bekas jurulatih taekwondo didakwa amang seksual budak perempuan
“Ia menggambarkan Kerajaan Madani komited memperkasa pembangunan modal insan yang seimbang, dengan mengintegrasikan aspek kerohanian dan pembentukan akhlak dalam sistem pendidikan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu ke-46 dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM serta Anugerah Sarjana Terengganu 2026 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini.
Institusi yang bakal menerima peruntukan khas itu ialah Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Besut; Madrasatul Quran Kubang Bujuk di Serada, Kuala Terengganu; Institut Tahfiz Al-Quran Al-Mizan di Dungun; Madrasah Darul Iman di Marang; Madrasah STC di Kuala Nerus; Pusat Tahfiz Anak Yatim Al-Sidiqi di Kuala Nerus; dan Sekolah Menengah Darul Furqan di Besut.
Turut menerima peruntukan khas itu ialah Al-Madrasah Al-Fathoniyyah Lil Ulum Ad Diniyyah di Kuala Terengganu; Madrasah Hafizah Ummul Khair di Kuala Terengganu; Maahad Tahfiz Al-Quran di Padang Midin dekat Kuala Terengganu; dan Tahfiz Al-Quran Gong Bayor di Besut.
Dalam pada itu, Anwar berkata pada tahun lepas, sebanyak RM1.8 juta diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf prasarana 18 institusi pendidikan Islam di Terengganu.
Beliau berkata peruntukan kepada institusi pendidikan Islam di seluruh negara termasuk di Terengganu mencerminkan penekanan berterusan kerajaan terhadap pengukuhan sahsiah, akidah dan akhlak bagi memastikan generasi masa depan bukan sahaja menguasai ilmu dan teknologi baharu, malah memiliki nilai kemanusiaan tinggi.
“Kalau kita asyik fikir menggapai di langit, (iaitu) teknologi baharu, kita akan tinggal akar kita. Sebab itu saya tekankan, menggapai di langit mengakar di bumi. Apa mengakar di bumi? Itu akidah, akhlak, sahsiah, nilai, budaya tempatan, bahasa dan kemanusiaan kita. Maka pendidikan sekarang ini harus menggabungkan kekuatan, menggapai di langit, mengakar di bumi,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata setiap kali pembentangan belanjawan oleh Kerajaan MADANI, sektor pendidikan sentiasa menerima peruntukan terbesar dengan RM66.2 bilion bagi tahun ini dan hampir RM69 bilion untuk 2027.
Beliau berkata penekanan Kerajaan Madani terhadap sektor pendidikan adalah bagi memastikan generasi masa depan Malaysia memiliki sahsiah, akhlak dan nilai intergiti tinggi yang menjadi amalan dalam kehidupan harian.
“Nilai akhlak dan adab yang diterapkan sejak di bangku sekolah seharusnya terus dipertahankan tanpa mengira kedudukan seseorang dalam masyarakat…Inilah sebabnya mengapa bagi saya pendidikan itu untuk bangsa bukannya pendidikan di sekolah semata-mata,” katanya.
Mengenai pengurusan kewangan negara secara cermat dan usaha kerajaan menangani ketirisan, Anwar berkata langkah itu membolehkan kerajaan mengekalkan subsidi minyak meskipun perlu menampung kos RM40 bilion setahun, selain menaikkan gaji penjawat awam dan menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat.
Pada majlis itu, seramai 852 anak Terengganu yang mencatatkan pencapaian cemerlang di peringkat pengajian tinggi dan peperiksaan sekolah menengah menerima pengiktirafan melalui peruntukan dana insentif berjumlah RM454,800.
Empat tokoh pelajar turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu yang membawa pulang sekeping pingat emas, wang tunai RM4,000, sebuah komputer tablet, sehelai blazer rasmi dan sijil penghargaan.
Bagi peringkat institusi pengajian tinggi pula, tiga pelajar menerima Anugerah Sarjana Terengganu, masing-masing membawa pulang wang tunai antara RM5,000 hingga RM7,000 berserta trofi, tablet dan sijil penghargaan.- BERNAMA
The post RM1.497 juta perkasa institusi pendidikan Islam dan tahfiz Terengganu appeared first on Utusan Malaysia.