KOTA BHARU: Bekas jurulatih taekwondo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual dan kontak fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan pada Januari 2024.
Baca juga: Hannah Yeoh Sahkan Pembantu Dipanggil SPRM Berhubung Isu Pajakan Tanah KLSCAH
Tertuduh, Soufa Pinyousos, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kontak fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun sembilan bulan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kelab latihan taekwondo di Jalan Pengkalan Chepa di sini, antara jam 4.30 sehingga 6.30 petang, pada 9 Januari 2024.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama yang dibaca bersama Seksyen 16 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Arina Razali dan tertuduh diwakili peguam Muhammad Arif Mohd Zain.
Terdahulu, Muhammad Arif memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang munasabah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd